Categories
SELANGOR

Peka pastikan ular tak bahayakan keselamatan

OLEH LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 3 DIS: Warga Subang Jaya diingatkan untuk sentiasa peka dan memastikan tiada lubang atau ruang boleh didiami ular.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, ia termasuk kawasan dalam dan luar rumah serta persekitaran kejiranan masing-masing.

“Beberapa minggu kebelakangan ini terdapat banyak aduan mengenai ular di sekitar Subang Jaya.

“Kita sudah hubungi Jabatan Perhilitan namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana ular sentiasa bergerak, maka perangkap tidak berguna.

“Sebab itu, mereka menasihati semua untuk memberi perhatian terhadap lubang dan sumber makanan ular iaitu katak,” katanya.

Antara aduan diterima termasuk di kawasan USJ 1, USJ5, PJS 11 Bandar Sunway dan SS19.

Hannah berkata, beliau bagaimanapun tidak pasti sebab di sebalik kemunculan ular berkenaan.

“Sama ada ia disebabkan perubahan cuaca atau sebab lain, sehingga kini tiada siapa dapat jawapan.

“Yang penting, semua penduduk perlu berjaga-jaga demi memastikan keselamatan masing-masing,” katanya.

Menerusi rakaman video diterima SelangorKini, seekor ular sawa dirakam penduduk ketika melalui jalan di SS14.

Ular kira-kira sepanjang 8 kaki itu dilihat menyusur melintas jalan dengan menyeret perut berat dan gagal dikesan selepas memasuki longkang di tepi jalan berkenaan.

=EZY=