Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PEKAWANIS rai 1,950 pelajar 33 DUN

OLEH SYASYA SUFIAN

GOMBAK, 16 DIS: Sempena sesi persekolahan 2017 yang akan dibuka pada awal Januari ini, Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) menganjurkan program ‘Back To School’ bagi meraikan persediaan pelajar kurang berkemampuan untuk kembali ke sekolah.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, PEKAWANIS memperuntukkan RM195,000 untuk program itu melibatkan 33 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam Parlimen.

“Program ini melibatkan hampir 1950 pelajar dan setiap DUN akan menyerahkan sumbangan bernilai RM100 kepada 50 pelajar terpilih.

“Cara penyerahan sumbangan diberikan dengan pelbagai cara mengikut DUN masing-masing, ada yang ahli PEKAWANIS membawa pelajar ke pasaraya membeli-belah, ada juga yang memberikan secara tunai,” katanya kepada SelangorKini.

img_20161216_115733_543Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Sumbangan Kembali ke Sekolah 2017 di Pusat Khidmat Rakyat YAB DS Mohamed Azmin Ali, Taman Melawati, di sini, pada 16 Disember lalu.

Katanya, program sumbangan hari itu gabungan bagi Parlimen Gombak, DUN Bukit Antarabangsa dan Batu Caves dengan menyerahkan baucer pusat membeli-belah Hari-Hari yang bernilai RM100 kepada 150 pelajar.

“Kita memilihHari-Hari kerana ia mudah dijumpai dan terdapat 19 cawangan di Selangor.

“Kita berharap dengan sumbangan ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan persiapan persekolahan anak khususnya bagi yang berpendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Badur, 67, melahirkan rasa syukur di atas pemberian itu yang dapat menampung kos persekolan cucu yang dijaganya yang bakal masuk darjah satu tahun hadapan.

“Dengan sumbangan ini, saya dapat membeli pakaian sekolah serta keperluan alat tulis untuk cucu memandangkan saya sudah bersara,” katanya.

Manakala, Sukma Mohamed, 39, berkata dia berterima kasih kepada PEKAWANIS dan Kerajaan Negeri kerana prihatin perihal rakyat.

“Saya tidak memohon di mana-mana, tetapi pusat khidmat DUN Bukit Antarabangsa yang menghubungi saya mengatakan layak menerima baucer RM100 untuk anak yang kelainan upaya ini.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memang prihatin tentang keadaan rakyat memandangkan kos sekarang semakin meningkat,” katanya.

-NFN-