Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Utama prinsip reformasi, prasyarat utama calon PM pembangkang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 16 DIS: Pemilihan calon perdana menteri dalam kalangan pimpinan pembangkang diputuskan berlandaskan prinsip reformasi komponen gabungan pembangkang.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, calon tersebut perlu mendukung prinsip itu demi kelangsungan manfaat rakyat Malaysia.

“Pra-syarat utama adalah prinsip reformasi yang memastikan keadilan itu dapat berdiri dalam institusi demokrasi negara kita. Itu penting,” katanya pada sidang media, semalam.

izzahDilaporkan, wujud pelbagai spekulasi yang mengaitkan calon sebenar berkelayakan menjadi perdana menteri sekiranya tampuk pemerintahan negara beralih kepada komponen pembangkang, selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Nurul Izzah berkata, agenda dan syarat melaksanakan sistem reformasi menjadi keutamaan pentadbiran negara sekiranya peralihan kuasa dibuat.

“Pakatan Harapan tidak lupa pra-syarat untuk melaksanakan agenda itu.

“Oleh sebab itu, soalnya bukan semata-mata soal ganti perdana menteri, tetapi apa yang perlu kita hormati dalam semangat Perlembagaan,” katanya.

Komponen pembangkang sebelum ini sebulat suara pernah menyatakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan mentadbir Putrajaya.

Bagaimanapun, Anwar kini masih menjalani hukuman penjara lima tahun bersabit pendakwaan politik terhadapnya.

-NFN-