Categories
SELANGOR

PEKAWANIS tekad memasyarakatkan al-Quran

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 DIS: Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) berazam untuk terus memasyarakatkan al-Quran, terutama golongan wanita di Selangor.

Pengerusinya, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, hasrat berkenaan mula diterjemah menerusi penganjuran Majlis Tadabbur dan Khatam Al-Quran sejak Januari 2015.

Katanya, program itu semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita Selangor, bermula dengan penyertaan seramai 100 wanita, kini mencecah 300 wanita.

img_20161130_154025_972“Dengan budaya membaca Al-Quran, kita bukan sahaja dapat menjaga hubungan dengan Allah, malah mampu menyemai silaturrahim erat sesama kita.

“Di sini, kita mula bertemu, saling mengenali dan menyayangi kerana Allah,” katanya.

Semalam, beliau menyertai Majlis Tadabbur dan Khatam Al-Quran kali ke-18 bersama 300 wanita di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini.

Selesai sesi bacaan, beliau yang juga isteri Dato’ Menteri Besar menyempurnakan majlis dengan perkongsian ilmu mengenai hikmah mempelajari makna setiap ayat Al-Quran.

“Marilah bersama-sama kita membaca dan memahami apa makna di sebalik setiap bacaan kita agar faham dan mampu mengamalkannya.

“Jika kita faham dan ambil sebagai panduan hidup, saya percaya kita semua akan menjalani hidup lebih tenang dan bahagia,” katanya.

-nR-