Categories
SELANGOR

‘Rahmatan Lil Alamin’ bawa kebaikan kepada semua

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 7 MEI: Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) menjaga kebajikan rakyat, di Selangor kerana ia ditadbir penuh kebertanggungjawaban melalui konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’.

Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, pembaharuan itu menjadi contoh sebagai negeri berkebajikan dan rakyat seharusnya terus memberi sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“PAKATAN melaksanakan pentadbiran tidak turun pada saat menjelang PRU kerana di bawah kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dijaya berlandaskan ‘Rahmatan Lil Alamin’.

“Ia bermakna Islam bukan hanya mementingkan orang Islam sahaja tetapi kaum lain,” katanya pada program Masak Bubur Lambuk Perdana, di Taman Jasa Utama di sini, semalam.

Katanya, kejayaan PAKATAN mentadbir Selangor menjadi model untuk ditawarkan kepada rakyat yang akan menilainya, demi masa depan mereka.

Shamshida berkata, IPR dilaksanakan Kerajaan Negeri dengan lebih 40 program jelas membawa banyak kebaikan kepada rakyat.

“Pada 9 Mei ini, (hari mengundi) rakyat diminta beramai-ramai menyatakan sokongan kepada PAKATAN kerana PRU ini bagi menentukan masa depan anak cucu kita,” katanya.

Turut hadir calon DUN Sungai Tua, Amirudin Shari, yang akan mempertahankan kerusi berkenaan dalam PRU14.

Categories
SELANGOR

KEADILAN tidak pernah sisihkan agama

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 3 MEI: Isteri kepada Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin membidas tuduhan liar yang mendakwa kononnya KEADILAN menyisihkan Islam.

Katanya, fitnah itu dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab demi publisiti murahan, sekali gus meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jika anda ingin tahu, Insentif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan Kerajaan Selangor adalah berkonsepkan ‘rahmatan lilalamin’, iaitu rahmat atau rezeki untuk semua, bukan sahaja kepada beragama Islam tetapi bagi orang bukan Islam juga.

“Itulah konsep Islam sebenar, tidak mengira bangsa, agama mahupun golongan, justeru saya amat sedih dan kesal dengan dakwaan jahat yang mengatakan KEADILAN tidak menitikberatkan agama,” katanya.

Shamshida yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) berkata, beliau bersama pertubuhan itu sudah beberapa kali menganjurkan program berbentuk keagamaan.

Namun, katanya, seperti biasa ia tidak mendapat liputan daripada media arus perdana berhubung pelbagai aktiviti dianjurkan pertubuhan berkenaan.

“Untuk pengetahuan, hampir 30 kali program khatam dan tadabbur al-Quran diadakan di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, saya jemput semua wanita tanpa mengira usia dan parti.

“Tetapi sayangnya, tidak dinafikan ada wanita dari parti tertentu tidak mahu menyertai program agama ini ekoran ada ahli parti lain yang turut serta, adakah ini akhlak yang perlu dicontohi? Untuk menjadi rakyat bagi sebuah negara hebat, kita perlu buang mentaliti ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Aura Shamshida di pentas Bukit Antarabangsa

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 3 MEI: Lebih 500 penduduk Bukit Antarabangsa teruja apabila isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin hadir menggantikan suaminya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu ceramah, di sini, malam tadi.

Kebanyakan penduduk di situ mula berkumpul sejak jam 8 malam menanti ketibaan Mohamed Azmin yang juga calon N019 Bukit Antarabangsa dan calon P099 Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Penduduk dilihat tidak sabar menanti kehadiran Mohamed Azmin ekoran ia adalah ceramah umum barisan calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Parlimen Ampang.

Pada jam 9.15 malam, Shamshida dilihat tiba diiringi penyokong PAKATAN dan kehadirannya menarik minat penduduk Bukit Antarabangsa.

Shamshida yang turut memberi ucapannya menerima tepukan gemuruh daripada hadirin.

“Saya mewakili Mohamed Azmin ke sini dan memohon maaf bagi pihak beliau kerana beliau kesempitan waktu serta terpaksa menghadiri acara lain di beberapa tempat lagi.

“Demi semangat PRU14 kali ini, saya turun bertemu anda semua mewakilinya kerana semangat kita yang mahukan perubahan kepada negara,” katanya.

Berucap hampir 20 minit di hadapan pengundi di situ, ada yang percaya Shamshida seperti pemimpin politik.

Malah, pengacara majlis ceramah umum itu turut berjenaka sepatutnya wanita nombor satu negara, di Putrajaya mecontohi Shamshida ketika berucap.

Categories
SELANGOR

JEiWA syor Selangor tubuh Penguatkuasaan Perintah Mahkamah

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri dicadangkan menubuhkan Badan Autoriti Penguatkuasa Perintah Mahkamah bagi membantu dan memudahkan golongan isteri berdepan isu kegagalan pelaksanaan perintah mahkamah.

Pengerusi Persatuan Pemerkasaan Wanita Intelektual Johor (JEiWA), Nor Fadilah Mohamed Nizar berkata, hal itu kerana Selangor merupakan negeri yang mengamalkan dasar wanita yang terbaik di Malaysia.

Katanya, ia bagi mengelakkan wanita terkesan dari segi emosi, sosial, ekonomi dan hubungan masyarakat.

“Akibat dari masalah kegagalan pelaksanaan perintah mahkamah, proses ke arah transformasi selepas penceraian terganggu.

“Ini akan menyebabkan wanita terpaksa memfailkan kes semula ke mahkamah dan menanggung kos guaman yang mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Beliau berkata demikian di program ‘Tea Talk’ yang diadakan di Kediaman Dato’ Menteri Besar Selangor, baru-baru ini.

Hadir sama Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin.

‘Tea Talk’ itu menampilkan barisan panel antaranya Ahli Dewan Negeri Taman Medan, Haniza Talha, Peguam Syarie Roshdan Sujak Rafie dan Fahda Nur Ahmad Kamar.

Pada masa sama, Fahda berkata, pemerkasaan Mahkamah Syariah penting supaya berupaya membantu menyelamatkan mangsa.

Katanya, tidak mustahil Selangor tidak dapat melaksanakannya seperti Enakmen Kebebasan Maklumat yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sebelum ini.

Sementara itu, Haniza percaya perkara itu boleh dicadangkan di Dewan Undangan Negeri untuk direalisasikan.

Katanya, hal itu kerana Kerajaan Negeri sangat mementingkan golongan wanita menerusi pelbagai dasar dan insentif yang diberikan kepada golongan itu.

Selain itu, Shamshida mengalukan ‘Tea Talk’ sempena Tahun Memperkasakan Wanita 2018 itu diadakan pada masa lain kerana memberikan perkongsian yang baik kepada golongan wanita dari pelbagai peringkat.

“Golongan wanita perlu dilengkapkan dengan ilmu kerana ilmu pengetahuan boleh mereformasikan hidup ke arah yang lebih baik serta memperjuangkan hak dalam kehidupan berumah tangga,” katanya.

Categories
SELANGOR

Madu bukan penawar kanser – Dr Yasmeen

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 JAN : Amalan pemakanan madu lebah bukanlah jaminan bahawa penularan sel kanser dalam badan pesakit itu boleh dirawat.

Pakar perubatan, Dr Yasmeen Farouk Mohamed berkata, pesakit kanser boleh mengambil pemakanan berasaskan buah-buahan bagi menambah kandungan gula dalam badan penghidap kanser.

“Dalam konteks pemakanan madu untuk individu yang belum mendapat kanser itu memang terbaik khasiatnya dan memang disarankan untuk mengamalkan pemakanan madu sesudu setiap pagi.

“Tetapi tidak bagi pesakit kanser, anda diingatkan untuk tidak mengambil madu sebagai pemakanan gula dalam badan tetapi disaran boleh mengambil buah-buahan sebagai gula sahaja.

“Memang ada saranan perubatan yang menyarankan pengambilkan madu kepada pesakit, namun berdasarkan pemerhatian dan kajian saya untuk tempoh 10 tahun ini, pengambilan madu untuk pesakit kanser sebenarnya tidak berkesan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa sel yang tidak dapat menampung penularan kanser dalam badan, walaupun pengambilan madu diambil penghidap kanser.

Sebelumnya, wujud beberapa pendekatan yang didedahkan umum di laman sosial mengaitkan amalan pemakanan madu yang didakwa boleh merawat kanser dalam badan pesakit.

Bagaimanapun hasil semakan SelangorKini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang melaporkan bahawa pemakanan madu boleh merawat kanser.

Namun, portal rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia mendedahkan, pengambilan madu hanya boleh menambah kepada kandungan kalori dan protein bagi diet pesakit kanser.

Terdahulu, Dr Yasmeen Farouk bercakap pada program seminar kesihatan Fule For Fighters Awakening yang turut dihadiri lebih 100 pesakit kanser seluruh negeri.

Hadir sama isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Datin Seri Shamshida Taharin dan Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi di Dewan Megawati, Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seksyen 7, petang ini.

 

Categories
SELANGOR

Masyarakat disaran bantu, pesakit kanser perlu positif

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 JAN: Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin berharap pesakit kanser di negeri ini sentiasa berfikiran positif untuk melawan penyakit itu.

Biarpun mengakui penderitaan ditanggung golongan itu, beliau menyarankan supaya pesakit kanser terus cekal meneruskan kehidupan dengan lebih positif.

Berkongsi pengalaman peribadi melalui detik-detik akhir bersama ibunya yang juga pesakit kanser, Shamshida berkata, beliau kini lebih redha dengan pengalaman itu, sebelum ini.

“Saya kini lebih faham selepas pemergian ibu setelah berjuang menentang kanser, saya sebenarnya lebih mendapat ketenangan.

“Pemergian Ibu itu cukup tenang, rupanya pejuang kanser ini diangkat martabatnya dan diraikan di kedudukan yang baik.

“Di saat akhir itu juga, ibu ada katakan beliau sudah bersedia dan saya sememangnya faham tentang erti ketabahan seorang pesakit kanser,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Dr Yasmeen Fule For Fighters Awakening kali keenam yang turut dihadiri lebih 150, pesakit kanser wanita di negeri ini.

Turut hadir Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.

Terdahulu, program berkenaan diadakan bagi membincangkan isu dan tips kesihatan yang perlu diamalkan pesakit kanser.

Seminar disampaikan pakar perubatan Dr Yasmeen Farouk Mohamed di Dewan Megawati Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, di Seksyen 7, petang ini.

Sementara itu, Shamshida menyambut baik inisiaitif dijalankan Dr Yasmeen dalam membantu memberi khidmat perubatan dan kaunseling kepada pesakit kanser.

Beliau berkata, langkah positif itu perlu diteruskan pelbagai pihak sebagai sumbang saran positif terhadap pesakit kanser.

“Semua orang mampu untuk membantu pesakit kanser menerusi landasan masing-masing, tidak semestinya anda perlu menjadi ahli politik atau pengarah syarikat untuk membantu.

“Suri rumah boleh memberi sokongan positif kepada ahli keluarga yang didapati menghidap penyakit itu,” katanya.

Categories
SELANGOR

Ibu bapa perlu positif dan terbuka dengan anak-anak

OLEH AFIX REDZUAN

SELAYANG, 27 JAN: Ibu bapa perlu positif dan berlapang dada dalam membentuk sahsiah anak-anak supaya hubungan terjalin bertambah erat.

Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, ibu bapa mempunyai peranan penting dalam mengawal emosi dan memberikan motivasi khususnya apabila anak-anak tidak mencapai keputusan cemerlang selepas mereka berusaha bersungguh-sungguh.

Menurutnya, hubungan rapat antara ahli keluarga memberikan lebih peluang untuk menegur sebarang kesilapan supaya anak-anak tidak mengulanginya.

“Saya menghargai usaha mereka (anak-anak). Apabila anak-anak kecewa, kita perlu ada disitu untuk mengangkat mereka.

“Tidak perlu merendah-rendahkan, cakap benda positif dan kita perlu percaya kebolehan anak-anak. Bahkan dalam Islam sendiri menyatakan kata-kata itu sebagai doa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Sepetang Bersama Datin Seri Shahshida Taharin anjuran Pusat Khidmat Batu Caves di Dewan Sri Siantan.

Berkongsi pengalaman sebagai isteri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali beliau berkata, suaminya sentiasa sibuk dengan kerjaya sebagai orang politik sejak mereka mula mendirikan rumah tangga.

Katanya, beliau sudah biasa dengan keadaan itu bahkan bersyukur dikurniakan enam orang anak yang menjadi peneman dikala suaminya sibuk bekerja.

Namun, Shamshida berkata, Mohamed Azmin akan meluangkan masa bersama keluarga terutamanya pada waktu Maghrib untuk solat berjemaah.

“Saya dah biasa menjadi isteri seorang ahli politik. Perbezaannya dia (Mohamed Azmin) sekarang menjadi Dato’ Menteri Besar.

“Cuma bidang kerja sahaja berlainan. Dahulu jadi Ahli Dewan Negeri (ADN), sekarang Ahli Parlimen dan Dato’ Menteri Besar.

“Allah itu adil, Dia beri saya tiga lelaki tiga perempuan. Anak lelaki boleh jadi imam jika ayahnya tiada.

“Kalau anak lelaki tiada, saya akan jadi imam kepada anak perempuan. Tidak rasa kehilangan sangat,” katanya.

Hadir sama Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves, Amirudin Shari.

Majlis yang dihadiri hampir 450 wanita dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves dan Parlimen Gombak itu turut diisi dengan sesi penerangan ‘Hak-Hak Wanita Dalam Perundangan’ yang disampaikan peguam, Nurainie Haziqah Shafie.

 

Categories
SELANGOR

JAIS digesa semak semula dasar pendidikan Islam

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) digesa menyemak semula dasar pendidikan Islam di Selangor khususnya maahad tahfiz persendirian yang semakin bercambah tanpa kawalan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan & Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Shamshida Taharin berkata, hal ini berikutan memastikan kira-kira 17,440 pelajar sekolah tahfiz persendirian untuk turut sama berpeluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Usaha pemberdayaan pengajian dan pendidikan agama Islam secara holistik bertujuan supaya generasi muda memiliki keseimbangan antara pendidikan arus perdana dan pendidikan berteraskan agama.

“Dalam mencapai matlamat ini, institusi agama mesti menyediakan kurikulum yang relevan dan menjamin masa depan anak-anak itu untuk memiliki kemahiran dan ilmu bagi kerjaya yang mempunyai daya saing dalam pasaran kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Waris Mangsa Kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor di sini, semalam.

Sehubungan dengan itu, Shamsidar berkata, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini mencadangkan supaya Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) memperluaskan program smart tahfiz dan program bimbingan huffaz (B-Faz) bertujuan menyediakan pelajar tahfiz mengikuti kurikulum bagi menduduki SPM.

Katanya, program ini membolehkan graduan tahfiz ini menyambung pelajaran mereka dalam arus perdana pendidikan negara.

Shamshida turut menekankan aspek keselamatan yang wajib diberi perhatian oleh pengurusan maahad tahfiz dengan mematuhi semua piawaian keselamatan.

“Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan 2018 mencadangkan RM2 juta diperuntukkan untuk membaikpulih dan menaiktaraf maahad tahfiz persendirian yang kini menempatan 17,440 murid di 262 buah maahad tahfiz persendirian yang berdaftar dengan JAIS sehingga Oktober 2017,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

PEKAWANIS santuni waris mangsa kebakaran Maahad Tahfiz Ittifaqiyah

 

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Pertubuhan Kebajikan & Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) menghulurkan sumbangan kepada waris 22 pelajar dan dua warden asrama yang meninggal dunia akibat kebakaran Sekolah Maahad Tahfiz Ittifaqiyah, Hulu Klang, pada September lalu.

Pengerusi PEKAWANIS, Datin Seri Shamshida Taharin berkata, beliau berharap sumbangan dihulurkan itu mampu meringankan sedikit bebanan ditanggung keluarga terbabit.

“Di dorong rasa sedih yang tak terungkap, saya turut bersama di wad forensik pengecaman dan berkesempatan turut berbual dengan beberapa ibu, bapa serta keluarga.

“Melihat reaksi para ibu membuat saya amat terharu kerana berbagai cerita menyayat hati dan pada ketika itu saya datang sebagai seorang ibu,” katanya dengan nada sebak.

Beliau yang juga isteri Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Waris Mangsa Kebakaran Maahad Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar di sini, semalam.

Beliau turut menasihati keluarga mangsa supaya tabah mengharungi dugaan yang amat berat itu.

“Insha Allah mereka berada dalam taman-taman syurga,” katanya lagi.

Ketika menyentuh kejadian awal pagi 14 September itu, Shamsidar berkata, lebih menyedihkan lagi apabila polis mengumumkan bahawa kejadian itu berlaku berpunca daripada perbuatan khianat sekumpulan remaja berusia serendah 11 tahun.

Jelasnya, selepas kejadian menyedihkan itu, beliau mengadakan perbincangan bagi membendung masalah sosial di negara ini.

“Untuk mencapai kemakmuran, bukan sahaja pembangunan fizikal diutamakan tetapi pembangunan mental kerohanian.

“Pembangunan mental dan kerohanian insan perlu sejajar dengan kemajuan infrastruktur kerana mental kerohanian sangat menentukan keberhasilan pembangunan secara menyeluruh di mana kedua-dua aspek ini perlu seiring dan seimbang, ” katanya.

Categories
SELANGOR

50 pesakit kanser terima kerusi roda

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PETALING JAYA, 28 OGOS: Seramai 50 penghidap kanser menerima sumbangan kerusi roda yang disampaikan isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin dalam Program Dr Yasmeen’s Grand Holistic Talk, semalam.

Penganjurnya, Dr Yasmeen Farouk Mohamed berkata, pemberian kerusi roda itu untuk pesakit kanser yang terpilih dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya melaksanakan program ini hampir 10 tahun dan setiap enam bulan kita akan memberikan fokus berlainan.

“Kali ini kita memberikan sumbangan kerusi roda kepada 50 pesakit kanser terpilih,” katanya kepada Selangor Kini.

Tambahnya lagi, program sama juga dilaksanakan bagi memberi sokongan moral dan nasihat kepada pesakit kanser.

“Apa yang saya tawarkan melalui program ini adalah tempat untuk pesakit kanser ini mendapatkan tentang cara-cara pemakanan yang sihat serta gaya hidup yang lebih sihat.

“Setakat ini kita mempunyai lebih 320 ahli terdiri daripada pesakit kanser dari tahap satu hingga empat,” katanya.

Yasmeen yang juga merupakan seorang penyelidik memaklumkan bahawa pemakanan yang sihat adalah perkara utama yang perlu di titik beratkan oleh pesakit kanser.

“Dengan menjaga pemakanan sebenarnya boleh memanjangkan lagi usia mereka dengan izin Allah. Badan kita adalah tanggungjawab kita sendiri.

“Bagi pesakit kanser, mereka perlu bersenam, banyakkan makan sayur dan buah setelah selesai menjalankan ‘chemotherapy’ selain kurangkan gula dalam makanan kerana ia boleh menyebabkan penyebaran kanser,” katanya.

Categories
SELANGOR

430 muslimah sertai Program Khatam & Tadabbur Al-Qur’an

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 OGOS: Seramai 430 peserta menyertai Program Khatam dan Tadabbur Al-Qur’an membabitkan wanita di Selangor untuk kali ke 25, semalam

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Shamshida Taharin berkata, program sejak 2015 itu teruskan setelah mendapat sambutan memberangsangkan.

Katanya, program itu diadakan bertujuan mendidik umat islam khususnya wanita dalam mengukuhkan hubungan dengan Allah dalam membaca serta fahami maksud dalam al-Quran.

IMG_20170823_165316“Ini antara amalan kecil yang kita laksanakan secara berterusan dan istiqamah agar setiap amalan ini diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T.

“Program ini juga dapat mengukuhkan ukhwah silaturrahim sesama wanita di Selangor tanpa mengira darjat mahupun pangkat,” katanya.

Tambahnya lagi, adalah wajar program itu disertai oleh semua muslimah di Selangor dalam menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup.

Menariknya program kali ini, turut berlangsungnya tazkirah ringkas secara live Facebook yang disampaikan Ustazah Fatimah Zahra yang juga merupakan guru kepada Shamshida.IMG_20170823_170028 IMG_20170823_170004

Categories
SELANGOR

Pekawanis: 140 anak yatim dan Rohingnya terima duit raya

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 JUN: Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli menyampaikan sumbangan duit raya kepada 140 anak-anak yatim dan Rohingya, pada Majlis Iftar Pekawanis, semalam.

Baginda diiringi Penaung Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Paduka Tengku Puteri Arafiah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Pengerusi Pekawanis, Datin Seri Shamshida Taharin.

Shamshida berkata, majlis anjuran bersama Pekawanis dan Persatuan Taska Negeri Selangor (PTNS) itu selaras matlamat Pekawanis mempergiat kerja amal di negeri ini.

2017-06-08-PHOTO-00000249“Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri memperkasakan wanita dan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri,” katanya.

Baginda turut berkenan menunaikan solat tarawih berjemaah serta mendengar tazkirah bersama kira-kira 1,150 hadirin.

Sumbangan duit raya ihsan Jakel dan Pekawanis disampaikan kepada 100 anak yatim daripada Kuala Selangor dan 40 anak Rohingya daripada Selayang.

Jakel menyumbangkan RM10,000 sementara Pekawanis menyumbangkan RM4,000 menjadikan jumlah sumbangan keseluruhan RM14,000 dengan setiap anak menerima RM100 seorang.