Categories
SUKANKINI

Piala Sultan Selangor: 4,000 penyokong ke Singapura lonjak semangat

SHAH ALAM 17 DIS: Seramai 4,000 penyokong daripada 15 kelab penyokong Selangor bakal berkunjung ke Stadium Nasional Singapura bagi saingan Piala Sultan Selangor edisi ke-16, yang dijadualkan berlangsung pada 6 Mei, tahun depan.

Pengerusi Piala Sultan Selangor, Tan Sri Abd Karim Munisar, berkata penyokong Selangor teruja untuk menonton perlawanan di negara itu, yang kali terakhir menjadi penganjur pada 2009, lapor BH Online.

“Kali terakhir Singapura menjadi penganjur ialah perlawanan di Stadium Jalan Besar. Akhirnya, penantian penyokong Selangor terjawab. Malah, pemain dan penyokong kedua-dua pasukan juga berpeluang merasai pengalaman bermain serta duduk di Stadium Nasional Singapura yang baharu.

“Tahun ini juga menyaksikan terdapat penambahbaikan terhadap penganjuran Piala Sultan Selangor iaitu dengan memperkenalkan perlawanan remaja bawah 15 tahun antara Selangor dan Singapura,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abd Karim berkata, tiga perlawanan akan diadakan iaitu membabitkan remaja, veteran dan pasukan pilihan Selangor serta Singapura yang akan berlangsung pada hari dan tempat yang sama.

Mengulas lanjut, katanya wakil kelab penyokong diminta menyerahkan senarai penuh ahli yang ingin menyertai rombongan ke Singapura selewat-lewatnya pada 15 Februari tahun depan.

“Manakala, kepada yang bukan ahli kelab penyokong, mereka boleh menghubungi pihak pengurusan Piala Sultan Selangor menerusi laman sosial Facebook The Sultan of Selangor’s Cup.

“Kami juga sudah berbincang untuk membantu semua penyokong menguruskan proses membuat pasport secara kumpulan dengan pihak Jabatan Imigresen, bagaimanapun ia bergantung kepada siapa dahulu (yang berminat untuk turut serta),” katanya.

Dalam aksi Piala Sultan Selangor edisi ke-15 yang berlangsung 7 Mei lalu, skuad Veteran Selangor menewaskan Veteran Singapura 2-0, namun kecemerlangan itu gagal diteruskan skuad Pilihan Selangor apabila tewas dalam penentuan penalti 4-3 selepas terikat 1-1 dalam 90 minit aksi.

=EZY=