Categories
GLOBAL

Aleppo jadi ‘neraka’ jika masyarakat awam tidak diselamatkan

ALEPPO 17 DIS: Kerajaan Syria pimpinan Basyar Al- Assad digesa memberi jaminan keselamatan kepada masyarakat awam di Aleppo dengan meneruskan misi pemindahan ke kawasan lebih selamat.

Ia ekoran Kerajaan Syria menggantung proses pemindahan orang awam dan pejuang dari medan pertempuran terakhir pejuang di Aleppo menyebabkan ribuan terperangkap dengan nasib mereka tidak diketahui.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Aleppo kini bertukar mirip ‘medan neraka’.

“PBB mendesak agar semua pihak mengambil langkah sewajarnya bagi membolehkan proses pemindahan penduduk dilakukan dengan selamat,” katanya di New York.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan juga mahu semua pihak agar menghormati perjanjian Aleppo.

Turki dan sumber tentera Syria berkata, pemindahan keluar penduduk sudah digantung namun ia bukannya dihentikan, manakala Moscow pula tetap menegaskan operasi pemindahan sudah lengkap apabila semua wanita dan kanak-kanak dikeluarkan dari bandar itu.

Operasi pemindahan orang awam dan pejuang keluar dari timur Aleppo bermula kelmarin dan ia berterus sepanjang malam dengan ribuan meninggalkannya menerusi bas dan ambulans.

Namun keadaan berbeza pada pagi Jumaat apabila operasi digantung dengan kerajaan Syria menuduh pemberontak melanggar syarat perjanjian gencatan.

=EZY=