Categories
NASIONAL

Pupuk gerakan Islamiyah, teladani perjuangan ABIM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BANGI, 8 DIS : Perjuangan gerakan Islamiyah berpandukan teras dan ajaran sebenar perlu diwujudkan bagi memastikan perjuangan mengenainya berlanjutan sehingga kini.

Mengimbau perjuangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahli Akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata, gerakan sedemikian terlahir hasil gabungan pemikir dan cendekiawan sekitar 1970-an.

“ABIM memainkan peranan dan fungsi yang jelas dan boleh dianggap sebagai gerakan Islam terbesar di Malaysia waktu itu yang mempertahankan prinsip Islam ketika kemelut agama berlaku di negara ini.

“Perjuangan ini perlu diteruskan dan dimanfaatkan khususnya golongan muda agar kemurniaan Islam itu dapat terus dipertahankan,” katanya.

img_2232Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum ‘Kebangkitan Islam di Alam Melayu dan Isu-Isu Masa Depan’ di Dewan Raya, Bangi Golf Resort di sini, petang ini.

Program anjuran bersama Nadwah Ilmuwan bersama Institut Darul Ehsan (IDE) turut dihadiri Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution dan Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin.

ABIM adalah pertubuhan bukan kerajaan yang diwakili sebagai salah satu pergerakan beli Islam yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 yang pernah diketuai bekas Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ABIM telah didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pertubuhan 1966. Manakala pada tahun 2009, setelah Kerajaan Persekutuan membuat semakan terhadap dasar belia negara, ABIM didaftarkan penubuhannya di bawah Akta Pertubuhan-pertubuhan Belia 2007.

-nR-