Categories
NASIONAL

Pupuk gerakan Islamiyah, teladani perjuangan ABIM

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BANGI, 8 DIS : Perjuangan gerakan Islamiyah berpandukan teras dan ajaran sebenar perlu diwujudkan bagi memastikan perjuangan mengenainya berlanjutan sehingga kini.

Mengimbau perjuangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahli Akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata, gerakan sedemikian terlahir hasil gabungan pemikir dan cendekiawan sekitar 1970-an.

“ABIM memainkan peranan dan fungsi yang jelas dan boleh dianggap sebagai gerakan Islam terbesar di Malaysia waktu itu yang mempertahankan prinsip Islam ketika kemelut agama berlaku di negara ini.

“Perjuangan ini perlu diteruskan dan dimanfaatkan khususnya golongan muda agar kemurniaan Islam itu dapat terus dipertahankan,” katanya.

img_2232Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum ‘Kebangkitan Islam di Alam Melayu dan Isu-Isu Masa Depan’ di Dewan Raya, Bangi Golf Resort di sini, petang ini.

Program anjuran bersama Nadwah Ilmuwan bersama Institut Darul Ehsan (IDE) turut dihadiri Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution dan Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin.

ABIM adalah pertubuhan bukan kerajaan yang diwakili sebagai salah satu pergerakan beli Islam yang ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 yang pernah diketuai bekas Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ABIM telah didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pertubuhan 1966. Manakala pada tahun 2009, setelah Kerajaan Persekutuan membuat semakan terhadap dasar belia negara, ABIM didaftarkan penubuhannya di bawah Akta Pertubuhan-pertubuhan Belia 2007.

-nR-

Categories
SELANGOR

Ilmu al-Quran, Sunnah singkap makna Islam sebenar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BANGI, 8 DIS : Aspek kerohanian dalam kalangan generasi muda wajar dipupuk dengan pemahaman menyeluruh terhadap pembangunan Islam berlandaskan ajaran hadis dan sunnah.

Tokoh Akademik, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar berkata, saranan tersebut disifatkan relevan dengan merujuk ketidaktentuan semasa membabitkan persekitaran masyarakat terhadap imej Islam ketika ini.

Beliau berkata, wujudnya kecelaruan pemikiran terhadap pemikiran Islam sebenar yang akhirnya memberikan pelbagai imej negatif mengenainya.

“Cabaran terbesar perlu diterjemahkan secara menyeluruh ketika ini adalah bagaimana masyarakat khususnya golongan muda mengatasi masalah kecelaruan pemikiran itu.

img_2232“Masalah kecelaruan seni berfikir masyarakat kini mendorong wujudnya pelbagai tanggapan dan pemahaman yang berbagai tentang konteks dan ajaran Islam.

“Oleh sebab itu teras pemikiran masyarakat perlu diperkuatkan berpandukan ajaran Islam sebenar dengan idealogi dan pemikiran falsafah yang bercirikan pengajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada forum ‘Kebangkitan Islam di Alam Melayu dan Isu-Isu Masa Depan’ di Dewan Raya, Bangi Golf Resort di sini, petang ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution dan Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Shaharuddin Badaruddin.

Dalam perkembangan itu, Dr Osman berkata, realiti perkembangan kemasyarakatan Islamiah global berdepan cabaran terbesar sekali gus memerlukan dukungan masyarakat Islam memastikan tanggapan tersebut dapat dipulihkan.

Katanya, inisiatif tersebut boleh dibuat dengan menyusun semula kurikulum pendidikan yang memberi tumpuan terhadap pembelajaran Islam yang lebih dominan di peringkat Institusi Pengajian Tinggi.

-nR-