Categories
NASIONAL

Rombak SPAD, tingkat mutu bas ekspres

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 27 DIS: Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar disaran melepaskan jawatannya susulan dakwaan berhubung mutu perkhidmatan pengangkutan bas ekspres.

Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, desakan tersebut dibuat merujuk kepada beberapa insiden membabitkan kemalangan bas ekspres di negara ini.

“Sejak beliau dilantik sebagai Pengerusi SPAD pada 3 Jun 2010, kami tidak nampak peningkatan mutu perkhidmatan atau keselamatan bas ekspres.

“Malah insiden pahit kemalangan maut bas di Genting Highland pada 21 Ogos 2013 apabila 37 terkorban masih segar dalam ingatan. Sekarang 14 lagi menjadi mangsa.

“Kami tidak nampak SPAD mengambil tindakan selepas begitu banyak kemalangan maut di jalan raya yang melibatkan bas.

“Kalau sedemikian, lebih baik orang baru dilantik untuk satu rombakan menyeluruh dalam SPAD,” katanya dalam kenyataan.

Sabtu lalu, sebuah bas ekspres dari Johor ke Kuala Lumpur kemalangan di KM 137.3 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, Pagoh yang mengorbankan pemandunya Zakeer Zubir dan 14 penumpang termasuk anak perempuannya.

16 yang lain cedera apabila bas berkenaan terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter pada jam 3.40 pagi.

Bercakap lanjut, Puah berkata, pindaan akta perlu dibuat bagi memastikan pemilik bas terutamanya bas syarikat berhad tertakluk undang-undang jenayah jika dibuktikan wujud kecuaian dalam pemanduan.

“Ini adalah penting kerana barangkali hanya pemandu bas sahaja didakwa di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 tetapi pemilik bas terlepas daripada liabiliti jenayah.

“Sebarang ganti rugi atau pampasan juga dibayar oleh insuran, maka pemilik atau pengarah syarikat bas terlepas daripada tanggungjawab,” katanya.

=EZY=