Categories
KENYATAAN MEDIA

Kenapa perlu bayar zakat sebelum 31 Disember?

OLEH LEMBAGA ZAKAT SELANGOR

Memahami antara ZAKAT dan CUKAI

Seperti yang sahabat sedia maklum zakat merupakan salah satu rukun Islam dan wajib disempurnakan oleh orang Islam bagi yang cukup haul dan nisab, manakala Cukai Pendapatan pula adalah diwajibkan oleh kerajaan untuk orang yang layak dikenakan cukai. Kedua duanya dibayar kepada institusi yang dilantik oleh kerajaan.

Zakat digunakan untuk membangunkan ekonomi Islam dan membantu asnaf fakir miskin untuk hidup sepertimana orang insan lain dan membantu asnaf lain.

Cukai pula digunakan untuk pembangunan negara seperti pembinaan infrastruktur dan lain-lain. Persoalannya sebagai orang Islam perlukah kita membayar kedua-duanya?

Di Malaysia, undang-undang negara ini menerusi Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, Seksyen 6A (3) memberikan keistimewaan kepada orang Islam.

Akta berkenaan menyatakan: “Rebat hendaklah diberikan pada tahun-tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayarannya wajib dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis”.

Maka untuk mendapatkan rebat ini umat Islam perlulah melunaskan zakat SEBELUM 31 Disember pada setiap tahun. Apakah maksud rebat? Rebat secara umumnya bermakna, jumlah cukai yang dapat dikurangkan dengan pembayaran zakat.

Semakin banyak berzakat, semakin sedikit cukai dibayar. Jika amaun zakatnya menyamai atau melebihi cukai, maka seseorang itu tidak perlu lagi membayar cukai pendapatannya.

Dalam konteks Malaysia, kerajaan telah menyelaraskan zakat dan cukai pendapatan dengan pemberian rebat ke atas zakat yang dibayar oleh umat Islam. Tiada had. Seberapa banyak pun zakat yang dibayar akan ditolak dari cukai yang sepatutnya kena bayar.

Dengan syarat zakat dibayar di dalam tahun taksiran yang berkenaan iaitu sebelum 31 Disember setiap tahun dan mendapat resit dari institusi zakat bertauliah di setiap negeri.

Maka, tunaikan zakat di mana-mana 28 cawangan zakat sebelum 31 Disember untuk menyempurnakan kewajipan kita dan melayakkan kita mendapat REBAT CUKAI. Cawangan Zakat Selangor dibuka pada 31 Disember ini bermula jam 8.30 pagi-8.00 malam.

Zakat juga boleh ditunaikan melalui online di https://fpx.zakatselangor.com.my/, mana-mana perbankkan internet, kaunter bank dan pejabat pos, penolong amil IPTA atau mana-mana ejen kutipan zakat.