Categories
NASIONAL

Sebab Tun M sokong mahasiswa berdemonstrasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 DIS: Kerosakan demi kerosakan yang dilakukan Datuk Seri Najib Razak terhadap negara mendorong Tun Dr Mahathir Mohamad mengubah pendiriannya menyokong mahasiswa menyertai demonstrasi secara aman.

Mantan Perdana Menteri itu berkata, era pemerintahan Najib ketika ini menutup semua saluran undang-undang untuk mana-mana pihak yang berhasrat menyekat perbuatan khianatnya terhadap amanah diberikan rakyat.

“Lapor polis kena tangkap, bawa ke Dewan Rakyat, wakil rakyat pula kena dedak.

“Pergi jumpa Raja-raja juga tidak menjadi, maka apa jalan lain yang kita ada?,” katanya ketika forum berkenaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di pejabat Malaysiakini, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, wakil rakyat pembangkang tidak mempunyai kebebasan bersuara di Dewan Rakyat kerana bakal berdepan risiko ditangkap dan didakwa di mahkamah seperti dialami Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

img_9831-800x533Katanya, keadaan itu berbeza semasa era pentadbirannya dengan wakil rakyat bebas bersuara tanpa dibimbangi bakal ditangkap dan didakwa di mahkamah.

“Dahulu macam-macam mereka kata saya, maha firaun, maha zalim dan rasuah tetapi saya tidak pernah saman mereka,” katanya.

Menjelaskan mengapa beliau menguatkuasakan AUKU satu ketika dahulu, Tun Mahathir berkata, ia ekoran taraf pendidikan orang Melayu jauh ketinggalan berbanding kaum Cina dan India.

“Dahulu masa saya belajar belum ada universiti tetapi hanya kolej, maka peluang sangat terhad.

“Jadi, kita kena gunakan sepenuhnya peluang itu untuk lulus dalam pelajaran lebih-lebih lagi pengajian kita dibiayai dengan dana rakyat,” katanya.

-AA-