Categories
NASIONAL

SUHAKAM: SOSMA langgar prinsip kebebasan hak asasi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) menyifatkan penahanan tanpa bicara yang dikenakan terhadap beberapa individu negara ini sebagai melanggari hak asasi dan kebebasan manusia.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Profesor Datuk Dr Aishah Bidin berkata, pendirian itu secara konsisten dinyatakan suruhanjaya tersebut berdasarkan prinsip dan tuntutan hak asasi manusia yang wajar diperolehi masyarakat di negara ini.

Bagaimanapun katanya, pihaknya sukar meneruskan siasatan secara menyeluruh berhubung penggunaan akta sedemikian susulan kelewatan maklum balas polis membantu proses siasatan dibuat.

“Pendirian kami secara jelas dan konsisten menyatakan penggunaan akta-akta ini mencabuli tahap dan kebebasan hak asasi manusia negara ini.

“Bagaimanapun kami memerlukan penjelasan menyeluruh terhadap beberapa kes dan pelanggaran yang didakwa melanggari prinsip kebebasan itu.

suhakam-logo“Kami mengalami kesukaran menjalankan siasatan kerana proses maklum balas itu terlalu perlahan dan menyukarkan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan dan penyerahan memorandum bantahan akta tersebut oleh Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan Pengarah Eskutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sevan Doraisamy di Pejabat SUHAKAM di sini, pagi ini.

Hadir sama, bekas Naib Ketua Bahagian Umno Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan.

Dalam pertemuan itu, Maria mendedahkan pencabulan hak kemanusiaan dikenakan terhadapnya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) melanggari prinsip keadilan sewajarnya sebagai rakyat Malaysia.

Lebih mengecewakan katanya, polis seolah-olah tidak mempunyai piawaian (OSP) sebenar membabitkan penahanannya di bawah akta berkenaan.

“Kami menentang penggunaan akta sedemikian kerana berlakunya ketidakadilan yang menghalang individu untuk mendapat pembelaan sewajarnya di Mahkamah.

“Atas tuntutan inilah menuntut komitmen SUHAKAM menjalankan siasatan secara telus dan adil terhadap pelanggaran akta tersebut,” katanya.

Pada 18 November lalu, Maria ditahan mengikut akta SOSMA kerana dikatakan cuba menggugat keselamatan negara berhubung penganjuran siri himpunan aman Bersih 5.0.

=EZY=