Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan rasmi Hospital Shah Alam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 DIS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Hospital Shah Alam, yang siap sepenuhnya Ogos tahun lalu.

Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Baginda turut membuat lawatan ke pameran evolusi kesihatan sebelum membuat lawatan ke wad padeatrik untuk beramah mesra bersama pesakit kanak-kanak.

Dalam titah ucapan, baginda berharap hospital terbabit dapat mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada.

Baginda bertitah rakyat kini boleh mendapatkan rawatan terbaik dengan kos murah dan berpatutan.

img_5808-1280x853“Beta bersyukur kerana hospital yang sekian lama dinantikan oleh penduduk siap dibina dan beroperasi dengan tahap sepatutnya.

“Dengan siap terbinanya hospital ini, rakyat khususnya penduduk sekitar mempunyai pilihan lain dan tidak bergantung pada Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya,” titah baginda.

Mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamsidar Tahrin.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr S Subramaniam dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Hilmi Yahaya turut mengiringi baginda.

Setakat Januari hingga September 2016, Hospital Shah Alam mencatatkan kedatangan 107,135 pesakit.

Jumlah itu merangkumi 45,456 kedatangan pesakit di Klinik Pakar dan 61,679 pesakit di Jabatan Kecemasan.

Manakala kemasukan pesakit ke dalam wad adalah 16,439 dengan kadar purata Bed Occupancy Rate (BOR) 74.58 peratus.

shah_alam_hospitalBilangan kelahiran yang dicatatkan adalah 5,062. Selain itu, sebanyak 3,287 pembedahan dijalankan di hospital ini.

Hospital Pakar Major itu memuatkan 300 katil dan 230 unit kuarters unit untuk anggota.

Ia mempunyai 14 jenis kepakaran dan merupakan hospital sekunder.

Antara kemudahannya 244 katil untuk pesakit diwad yang terdiri dari Wad Kelas 1, 2 dan 3. 28 katil NICU, 7 katil ICU, 14 katil HDW dan 7 katil CCU.

Selain itu, 10 buah dewan bedah, 20 bilik bersalin dan 20 buah mesin haemodoalisis.

-nR-