Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan titah fasiliti lama setiap hospital diganti segera

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 DIS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya peralatan dan fasiliti lama di setiap hospital negeri itu diganti segera.

Baginda bertitah, perkara terbabit perlu diambil perhatian serius bagi mencegah perkara tidak diingini berlaku kepada pesakit dan kakitangan hospital.

“Beta mengingatkan agar setiap fasiliti kesihatan lama atau rosak digantik segera bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Beta juga mahu semua hospital mempunyai sistem pencegahan kebakaran yang efisyen dan berfungsi dengan baik,” titah baginda dalam majlis perasmian Hospital Shah Alam, di sini.

img_5808-1280x853Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin.

Mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamsidar Tahrin.

Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr S Subramaniam dan Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr Hilmi Yahaya turut mengiringi baginda.

Baginda mahu semua pegawai dan kakitangan hospital bersiap siaga menghadapi situasi kecemasan yang mungkin akan berlaku.

Titah baginda, setiap projek membabitkan kepentingan rakyat perlu disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

“Agensi pelaksana yang dipertanggungjawabkan ke atas projek hendaklah memantau dengan teliti perlaksanaannya.

“Ini bagi menjamin keperluan rawatan perubatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dan rakyat juga tidak terbeban dengan kos sara hidup yang makin meningkat,” titah baginda.

shah_alam_hospitalHospital Shah Alam yang siap sepenuhnya pada Januari lalu merupakan hospital pakar major dengan kapasiti 300 katil dengan 14 jenis kepakaran dan merupakan hospital sekunder.

Antara kemudahannya membabitkan 244 katil untuk pesakit diwad yang terdiri dari Wad Kelas 1, 2 dan 3. 28 katil NICU, 7 katil ICU, 14 katil HDW dan 7 katil CCU.

Selain itu, 10 buah dewan bedah, 20 bilik bersalin dan 20 buah mesin haemodoalisis disediakan.

-nR-