Categories
NASIONAL

Suspek bergelar ‘Datuk’ didakwa kes bunuh Bill Kayong

MIRI 14 DIS: Seorang lelaki bergelar ‘Datuk’ didakwa di Mahkamah Majistret Miri di sini, hari ini berhubung pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Bill Kayong pada 21 Jun lalu.

Datuk Stephen Lee Chee Kiang, 45, didakwa bersama-sama pembantu peribadinya Chin Wui Ching, 50, dan pemilik pub, Lie Chang Loon, 37, kerana bersubahat dengan pengawal kelab malam (bouncer) Mohamad Fitri Pauzi, 29, dalam pembunuhan itu.

Lee didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama dan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan, lapor BERNAMA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Jun 2016 kira-kira jam 8.20 pagi di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket di persimpangan Jalan Kuala Baram.

Tiada pengakuan dicatatkan dan Lee dilihat menganggukkan kepala apabila jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Zuraini kemudian menetapkan 30 Disember untuk kes itu disebut semula berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Noor Fadzila Ishak.

Fadzila memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan masih menunggu arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177 A Kanun Tatacara Jenayah.

Sehingga kini, empat individu telahpun didakwa, termasuk Lee pada hari ini, atas pembunuhan Bill Kayong.

Tertuduh pertama Mohamad Fitri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Bill, 43, yang nama Islamnya Mohd Hasbie Abdullah, manakala tertuduh lain didakwa bersubahat dan membunuh mengikut Seksyen 109 dan 302 Kanun Keseksaan.

Mohamad Fitri, Lie dan Chin mengaku tidak bersalah ketika mereka dihadapkan di Mahkamah Tinggi Miri pada 25 Nov dan mahkamah menetapkan sembilan hari untuk perbicaraan bermula 3 Januari 2017.