Categories
NASIONAL

Terus hulur bantuan kemanusian buat Aleppo

SEPANG 26 DIS: Rakyat Malaysia diseru terus menyalurkan bantuan kecemasan kepada mangsa krisis kemanusian di Aleppo, Syria.

Pengarah Strategik Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Sani Arabi Abd Halim berkata, situasi kemanusiaan sangat genting di wilayah tersebut pada masa ini dengan jumlah pelarian meningkat kepada 80,000 orang dan amat memerlukan bantuan makanan serta perubatan.

“Kami menguar-uarkan bantuan sumbangan dihulurkan untuk mangsa konflik di negara melalui akaun Maybank 5628 3463 6987 atas nama Syria Emergency Appeal Dana Mapim,” katanya lapor BERNAMA.

Sani yang mengetuai misi menghantar bantuan ke Aleppo bersama tiga yang lain berkata jumlah bantuan yang terkumpul itu bagaimanapun masih jauh daripada sasaran iaitu sebanyak RM2 juta.

“Kumpulan pertama ini diketuai saya sendiri berangkat dahulu ke Syria dan berada di sana selama 10 hari menghantar bantuan makanan dan perubatan termasuk rancangan pembinaan 1,000 khemah untuk pelarian bernilai RM50,000,” katanya.

Sani berkata mereka akan turut mendapatkan bekalan perubatan dari Turki dan membeli makanan daripada petani di kawasan Syria yang tidak terjejas.

“Selain itu, rakyat tempatan juga menghadapi keadaan lebih sukar dengan kehadiran musim sejuk dan kita juga menghantar 3,000 selimut dan baju sejuk untuk kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata bantuan disalurkan adalah misi kali ketujuh dilaksanakan MAPIM sejak tercetusnya konflik di Syria.

Katanya rombongan kedua dijangka berlepas pada 15 Januari tahun depan dengan disertai 10 anggota MAPIM.

=EZY=