Categories
SELANGOR

Tiada kelulusan bina menara telekomunikasi

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 23 DIS: Pembinaan dua menara telekomunikasi di USJ 6 yang dibantah penduduk setempat sebelum ini tidak akan diberi kelulusan ekoran pembinaannya di kawasan kebun komuniti.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Dato’ Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan penduduk dan pihak berkaitan.

“Sebelum ini, kita sudah luluskan tetapi kerana ada bantahan, maka kita tarik balik keputusan dan mengambil pendekatan menang-menang,” katanya ketika Mesyuarat Bulanan MPSJ, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, kelulusan di peringkat MPSJ adalah terhad kepada lokasi tapak pembinaan sahaja.

Manakala, katanya, sehingga kini, 16 projek pembinaan menara lain masih dalam penyelesaian pihak MPSJ.

ydp mpsj“Kita menolak dua projek ini sahaja dan selebihnya tiada masalah. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga sudah memberi lampu hijau untuk meluluskan projek lain,” katanya.

Terdahulu, pembinaan menara telekomunikasi atas tanah di bawah pentadbiran MPSJ ditangguhkan antaranya Persiaran Puteri, Persiaran Puncak Jalil, Bandar Kinrara 3, USJ 21, Persiaran Subang Damai, Persiaran Putra Permai dan SS18 Subang Jaya.

Sebelum ini, penduduk di kawasan perumahan SS18 mengadakan bantahan mendakwa akan menerima kesan terhadap projek pembinaan menara telekomunikasi setinggi 30 meter di kawasan mereka.

Mereka mendakwa pembinaan menara telekomunikasi itu diluluskan pihak berkuasa tanpa berbincang terlebih dahulu dengan penduduk.

-AA-