Categories
NASIONAL

Tragedi bas: SPAD digesa rangka solusi tuntas

SHAH ALAM 24 DIS: Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) digesa segera merangka solusi tuntas bagi memastikan tragedi kemalangan bas meragut ramai korban tidak berulang.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dalam satu kenyataan berkata, beliau sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku kerana telah lama menyuarakan isu keselamatan jalan raya di dalam dan luar Parlimen sebelum ini.

“Ucapan takziah dan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa tragedi kemalangan melibatkan bas ekspres Alisan dekat Pagoh,” katanya.

Beliau konsisten mendesak kerajaan menubuhkan Panel Penasihat Bebas sejak 2013 sejurus selepas tragedi Genting Highlands yang turut melibatkan sebuah bas ekspres.

“Isu-isu seperti keselamatan, perlesenan, penggajian bersesuaian dan kebajikan pemandu adalah antara aspek perlu diberi perhatian dan menuntut keazaman politik tinggi agar penambahbaikan serta pembaharuan dapat direalisasikan,” katanya.

Sementara itu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan mangsa kejadian itu.

“Menerima berita kemalangan bas ekspres di Pagoh yang mengorbankan 14 nyawa dengan penuh kedukaan. Saya mendoakan roh mereka yang terkorban dilimpahi rahmat dan kesejahteraan oleh Allah SWT,” kata Wan Azizah.

Dalam kejadian kemalangan tragis terbaru itu mengorbankan nyawa 14 individu serta 16 lagi cedera apabila sebuah bas ekspres Alisan terjunam ke dalam cerun sedalam 20 kaki di Kilometer 137, Lebuhraya Utara Selatan dekat Pagoh.

=EZY=