Categories
SELANGOR

Wartakan Pantai Remis jadi pantai awam

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 28 DIS: Kerajaan Negeri disaran mewartakan Pantai Remis sepanjang kira-kira dua kilometer (KM) sebagai pantai awam bagi tujuan rekreasi dan pelancongan.

Yang Di Pertua, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Noraini Roslan berkata, sebahagian pantai itu kini berstatus rizab hutan dan sebahagian lagi merupakan rizab sungai.

Katanya, tindakan itu bagi melindungi pantai berkenaan untuk manfaat masyarakat.

“Kita tidak mahu Pantai Remis mengalami nasib seperti sesetengah pantai yang diberikan hak milik kepada pihak lain.

“Dengan adanya rizab pantai awam, ia akan terpelihara untuk kegunaan awam dan terus dapat dinikmati masyarakat umum,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Medan Selera Fasa Dua di Pusat Pelancongan Pantai Remis, di sini, hari ini.

Noraini berkata, usaha pembangunan Pantai Remis melonjakkan peluang ekonomi di kawasan sekitar termasuk pembinaan restoran makanan laut, chalet dan homestay.

“Bagaimanapun, kita menggesa pihak berkenaan agar mengikut saluran betul agar perniagaan mereka tidak dicop haram.

“Jadi kita galakkan mereka merujuk MDKS mengenai segala urusan berkaitan seterusnya menjadikan perniagaan itu sah dari segi undang-undang,” katanya.

=EZY=