Categories
SUKANKINI

70 peserta sertai MBR Kuala Langat

KUALA LANGAT 10 JAN: Program pembangunan sepak takraw kelolaan Masyarakat Bolarotan (MBR) kali ini berkunjung ke Kuala Langat.

Program tajaan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ini meneruskan siri keempat dengan Pusat Latihan Daerah Kuala Langat iaitu SK Sijangkang Jaya menjadi lokasi program.

Seramai hampir 70 peserta semuda lapan tahun sehingga awal 40-an hadir menjayakan program ini.

Untuk edisi keempat ini, guru pembimbing Sekolah Sukan Selangor Seksyen 11 Shah Alam iaitu Syahrudin Nazir bertugas selaku ketua jurulatih.

Turut membantu sebagai fasilitator ialah pemain dari kelab sepak takraw yang semakin meningkat naik dari Banting iaitu Kelab Sepaktakraw BUDI.

Penyelaras Teknik Sepaktakraw Kuala Langat iaitu Suhaimi Mohamed Sayuti turut membantu dari aspek penyediaan kelengkapan dan fasiliti.

Pusat latihan ini dilengkapi dengan tiga gelanggang berbumbung yang mana ia sesuai bagi program pembangunan sepak takraw.

Suasana persekitaran selesa dan luas turut memudahkan pelbagai aktiviti peningkatan atlit dijalankan.

Selain itu, ia juga sesuai dijadikan lokasi kejohanan terutama jumlah tiga gelanggang tersedia membantu kejohanan berskala sederhana dan besar.

Program Trio Impian kali ini turut menyaksikan beberapa bakat baru yang berpotensi diketengahkan.

Tekong berusia 17 tahun iaitu Muhammad Firdaus Abdul Issyam yang sebelum ini tidak pun berpeluang mewakili daerah, tetapi menunjukkan kemampuan melakukan servis dengan laju dan mantap.

Kini beliau dipantau oleh Pusat Latihan Daerah bagi memastikan bakatnya tidak ketinggalan lagi.

Menurut Shahrim Mukhtar yang juga salah seorang pengadil sepak takraw di Selangor, program ini baik untuk pendedahan di peringkat akar umbi. Beliau turut membawa tiga cucunya hadir sama sebagai peserta.

Peserta turut beraksi dalam perlawanan simulasi Liga Air Di Cincang Takkan Putus (ADTP) dan membawa pulang pelbagai hadiah antaranya tajaan Gajah Emas Industries Sdn Bhd.

Turut beraksi pada acara itu ialah apit kanan negeri Selangor iaitu Saudara Najib Rahman yang turut membimbing Trio Impian Daerah Kuala Langat selepas ini.

Untuk melihat lebih banyak foto dan video, pembaca boleh terus ke Page Facebook rasmi Bolarotan atau Facebook Masyarakat Bolarotan.

=EZY=