Categories
KENYATAAN MEDIA

Batalkan pembelian Eagle High

OLEH Lee Chean Chung

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengalu-alukan perlantikan Pengerusi FELDA yang baru Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan seruannya untuk mengembalikan matlamat asal penubuhan FELDA.

AMK berpendapat satu kayu ukur yang cukup penting untuk menunjukkan keikhlasan serta keazaman Shahrir supaya menumpukan kesejahteraan peneroka dan matlamat asal FELDA adalah pendirian beliau terhadap pembelian Eagle High Plantation (EHP) Indonesia.

Sedia maklum bahawa pembelian EHP berjumlah RM2.26 bilion ini diselubungi misteri dan keluarbiasaan. Bukan sahaja harga pembelian 3 kali ganda lebih mahal daripada harga pasaran, bahkan FELDA tidak mempunyai kawalan pengurusan langsung selepas penguasaan 37% saham EHP.

Shahril pasti sedar bahawa FELDA yang sudah berhutang RM6.1 bilion pada tahun 2014, dan baki tunainya hanya berparas RM685 juta pada tahun 2015 tidak lagi mampu membeli syarikat EHP.

Satu-satu jalan adalah dengan melalui pinjaman yang mana sudah pasti akan memudaratkan keadaan kewangan FELDA.

Pada masa yang sama, Shahrir tidak boleh mengetepikan kritikan Pengerusi CIMB Dato’ Seri Nazir Razak yang menggesa lembaga pengarah supaya mewajarkan sepenuhnya pengambil alih dan penilaian tersebut.

Selain itu, penganalisa turut mencadangakan agar peruntukan itu disalurkan kepada Felda Global Venture (FGV) kerana nilainya lebih menarik berbanding dengan EHP.

AMK berpendapat Shahrir sebagai pengerusi FELDA baru yang tidak terbeban dengan salahlaku dan silap pengurusan dulu mampu dan wajar memberhentikan pembelian EHP yang jelas sudah terpesong daripada matlamat asal FELDA untuk membela nasib rakyat dan peneroka.

Batalkan pembelian tersebut segera untuk membuktikan Shahrir tidak gadaikan FELDA dan bukan di bawah tunggangan mana-mana pihak berkepentingan.

* Lee Chean Chung adalah Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan