Categories
NASIONAL

Bentuk kawanan helang, robek undang-undang sarang labah-labah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 4 JAN: Rakyat disaran mendukung usaha pelbagai pihak untuk membenteras budaya rasuah yang berlaku membabitkan agensi kerajaan di Putrajaya kini.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendirian tersebut perlu disahut rakyat ke arah pembentukan negara bebas rasuah dan amalan korupsi.

“Jangan biarkan ‘undang-undang sarang labah-labah’ terus bersarang.

“Ayuh kita bersama rakyat membentuk “kawanan helang” untuk merobek “undang-undang sarang labah-labah” bagi memastikan undang-undang negara kita bukan “undang-undang sarang labah-labah” yang hanya menghukum golongan kecil ataupun marhaen sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataannya sebagai mengulas kenyataan bekas pegawai kanan Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zin untuk tidak berkhidmat dengan ‘undang-undang sarang labah-labah’.

Bahri semalam menjelaskan, undang-undang labah-labah hanya memerangkap pesalah kecil, manakala pelaku yang lebih besar terlepas daripada tindakan.

“Terlalu banyak wang yag hilang. Saya tak patut berkhidmat dalam undang-undang sarang labah-labah,” katanya dipetik Malaysiakini.

Semalam Bahri mengumumkan untuk menamatkan perkhidmatannya dalam SPRM walaupun boleh meneruskan tugas untuk tempoh tiga tahun lagi.

Bahri antara pegawai SPRM yang dilaporkan memainkan peranan utama dalam siasatan membabitkan syarikat milik kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengurusan 1MDB sebelum ini didakwa terpalit dengan skandal kewangan membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

=EZY=