Categories
PBT SELANGOR

Kontraktor tak kutip sampah seminggu tindakan sabotaj

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 JAN: Kontraktor sampah didakwa tidak mengutip sampah hampir seminggu dipercayai melakukan sabotaj ekoran tiada lantikan semula untuk kontrak pembersihan baru.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata, berkata, beberapa kawasan di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengalami masalah timbunan sampah tidak dikutip kontraktor sebelum tamat tempok perkhidmatan pada 31 Disember lalu.

Katanya, kawasan yang terlibat adalah di Pasar Kampung Baru Seri Kembangan, Taman Universiti Indah dan Taman Bukit Serdang Seksyen 5.

“Ini adalah aduan paling serius saya terima daripada penduduk apabila kontraktor mula berhenti mengutip sampah seminggu sebelum kontrak tamat, kes sabotaj ini sering berlaku dimana-mana Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila tempoh kontrak hampir tamat.

“Kes ini mengakibatkan penduduk dan peniaga terpaksa hidu bau busuk sampah dan kawasan pembuangan sampah jadi terlalu kotor. Kini kontraktor baru pula yang terpaksa kutip sampah yang sudah ditinggalkan berhari-hari lamanya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MPSJ, Dr Roslan Mohamed Hussein berkata, pihaknya akan melaksanakan pemotongan bayaran perkhidmatan kepada kontraktor di kawasan terbabit.

Katanya, pihaknya akan menyemak bilangan hari sampah yang tidak dikutip dan pemotongan bayaran akan dibuat seperti sebelum ini kerana kontraktor tersebut sememangnya bermasalah hampir setiap bulan.

=EZY=