Categories
GLOBAL

Costa Rica isytihar amaran hijau, gunung berapi letuskan abu

SAN JOSE 7 JAN: Costa Rica mengisytiharkan perintah darurat selepas gunung berapi meletuskan abu yang memaksa semua penerbangan antarabangsa ditangguhkan dan mencetuskan suasana cemas di ibu negara berkenaan.

Gunung berapi itu mula mengeluarkan debu secara konsisten sejak dua minggu lalu menyebabkan debu meliputi pokok, bangunan dan kereta di sekitar kawasan letusan itu.

Kawasan terlibat adalah Barva, Moravia, Santa Bárbara, Guadalupe, Coronado, Santo Domingo, Tibás, Pavas, Carrizal, Sabanilla dan Alajuela.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan Negara itu mengeluarkan perintah darurat bagi ibu negara San Jose dan beberapa bandar raya berhampiran.

“Untuk beberapa hari ini, Gunung Berapi Turrialba berterusan mengeluarkan abu,” kata Suruhanjaya Kecemasan Kebangsaan (CNE) dalam satu kenyataan hari ini.

San Jose terletak kira-kira 36 kilometer (km) dari gunung berapi itu yang mempunyai ketinggian 3,432 meter dari bawah paras laut.

Kepulan debu dan asap dari Turrialba dibawa angin menghala ke San Jose dan beberapa bandar lain seperti Heredia, Cartago dan Alajuela, iaitu bandar yang terletaknya lapangan terbang antarabangsa.

Jabatan Pemantauan Seismologi dan Gunung Berapi di Universiti Costa Rica berkata, gegaran seismik dikesan semakin meningkat di kawasan gunung berapi Turrialba.

CNE mengeluarkan nasihat kepada penduduk agar memakai pelindung mata, topi dan pakaian yang sesuai ketika berada di luar kediaman.

Mereka juga diminta agar mencuci sayur-sayuran yang dipetik dari kawasan gunung berapi kerana dikhuatiri abu boleh memudaratkan kesihatan.

=EZY=