Categories
AGENDA GLOBAL

Gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa meletus

JAKARTA, 17 JAN: Gunung Semeru di Jawa Timur, gunung berapi tertinggi di Pulau Jawa, Indonesia meletus hari ini dengan mengeluarkan asap setinggi 4.5km.

Gunung berketinggian 3,676 meter itu meletus jam 5.24 petang waktu Indonesia Timur.

Menurut siaran media Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), gunung itu kini berstatus level II (dua) atau ‘waspada’ dan Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi Indonesia (PVMBG) sedang melakukan evaluasi lebih lanjut berhubung letusan itu.

Penduduk di sekitar Desa Sumber Mujur, Desa Curah Koboan dan kawasan sekitarnya diarahkan sentiasa berjaga-jaga dan menjauhi kawasan gunung berkenaan.

Berdasarkan data PVMBG terdapat lebih 70 gunung berapi yang masih aktif di Indonesia manakala tujuh gunung berapi di Indonesia ketika ini sedang aktif meletus.

Gunung berapi yang sedang aktif meletus sejak dua tahun lepas ialah Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda, Gunung Merapi (di Jawa Tengah), Gunung Kelud (Jawa Timur), Gunung Sinabung (Sumatera Utara), Gunung Bromo (Jawa Timur), Gunung Soputan dan Gunung Lokon (di Sulawesi Utara).

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Letusan Sinabung tidak jejas kualiti udara Malaysia hujung minggu

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Khabar mengenai kesan debu gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia akan menjejaskan kualiti udara di Malaysia sehingga hujung minggu ini adalah tidak benar, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia)

Ketua Pengarahnya Jailan Simon dalam satu kenyataan semalam berkata debu daripada letusan pada 10 Ogos itu tidak lagi memberi sebarang kesan kepada negara.

“Malahan sebelum ini, ia hanya menjejaskan operasi penerbangan tetapi tidak menjejaskan kualiti udara,” katanya.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai isu berkenaan, sebaliknya perlu sentiasa peka dengan maklumat yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui lama web rasmi, dan aplikasi myCuaca.

Menurutnya pada ketika ini gunung berapi Sinabung masih lagi aktif dan boleh meletus semula pada bila-bila masa.

Isnin lepas, gunung berapi itu meletus pada pukul 11.37 pagi yang menyaksikan asap debu letusan itu memasuki ruang udara negeri Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Pahang, namun ia tidak menjejaskan kualiti udara negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pakar Seismologi boleh bantu negara hadapi bencana gunung berapi

JOHOR BAHRU, 26 DIS: Kerajaan disyor membangunkan sekumpulan pakar dalam bidang seismologi yang dilatih khusus dalam mengkaji kejadian gempa bumi, tsunami dan gunung berapi.

Dalam mencadangkan perkara itu, Pengarah Pusat Geotropik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Edy Tonnizam Mohamad berkata ini adalah ekoran daripada aktiviti gunung berapi di negara jiran yang kembali aktif kebelakangan ini.

Cadangan itu dibuat beliau susulan letusan Gunung Anak Krakatoa Ahad lepas sehingga menyebabkan tsunami di sekitar Selat Sunda dan mengorbankan ratusan nyawa.

Menurut Edy Tonnizam, sekitar 135 tahun lalu, letusan Gunung Krakatoa di negara jiran tersebut telah mengorbankan 30,000 nyawa serta turut memberi impak kepada negara di sekitar Indonesia, termasuk Malaysia.

“Dalam keadaan ini, kita nampak ada risiko bencana alam yang bukan sahaja melibatkan gempa bumi dan tsunami yang sering berlaku kebelakangan ini, tetapi juga risiko bencana yang melibatkan gunung berapi,” katanya ketika ditemui di Pusat Geotropik UTM, hari ini.

Edy Tonnizam berkata gunung berapi yang aktif bukan sahaja akan menyebabkan berlakunya tsunami dan gempa bumi, tetapi debu dan gas yang dikeluarkan daripada gunung berapi juga boleh mengancam nyawa.

Menurutnya lagi, kepakaran dalam bidang seismologi boleh membantu meningkatkan persediaan negara dalam menghadapi bencana, selain daripada sistem amaran awal sedia ada yang digunakan untuk bencana tsunami dan gempa bumi.

“Apa yang dicadangkan ialah untuk membangunkan kepakaran dalam bidang seismologi, untuk bangunkan pasukan yang memang dilatih khusus untuk melihat kepada perubahan dan petanda awal (pergerakan bumi di bawah tanah),” katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan Indonesia kini juga sedang membangunkan kepakaran sama dan sedang mendapatkan kepakaran dari negara-negara yang pernah mengalami bencana gunung berapi, suatu perkara yang wajar dicontohi Malaysia.

Jelas beliau, letusan Gunung Krakatoa pada 1883 itu mengakibatkan ombak tsunami setinggi 100 meter yang turut menjejaskan Malaysia dan Australia pada ketika itu.

Jika kejadian sama berulang, ia mungkin akan mengakibatkan tsunami yang lebih teruk daripada tsunami yang berlaku pada tahun 2004, katanya.

“Kalau katakan letusan Gunung Anak Krakatoa itu menyamai atau kurang sikit daripada yang berlaku pada 1883, negara juga boleh terjejas,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun berkata tempoh untuk berlakunya bencana sama, memakan masa beratus tahun namun Malaysia harus membuat persiapan awal ekoran daripada aktiviti gunung berapi yang aktif di Indonesia kebelakangan ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Amaran merah: 4,000 penduduk Guatemala diarah pindah

GUATEMALA CITY, 21 NOV: Kira-kira 4,000 penduduk dipindahkan berikutan pengisytiharan pihak berkuasa Guatemala mengenai amaran merah selepas gunung berapi Fuego meletus buat kali kelima tahun ini.

Ia mengeluarkan abu dan lahar menuruni gunung itu sebelum aktiviti surut dan akhirnya berhenti.

Penduduk masih ingat mengenai letusan gunung berapi itu pada Jun lalu, memusnahkan beberapa kampung dan hampir 200 maut manakala 235 lagi hilang.

Pengarah Institut Gunung Berapi, Pablo Oliva berkata, tahap aktiviti gunung berapi itu menurun mendadak menjelang lewat kelmarin.

Sebelum ini, jurucakap agensi pengurusan bencana Guatemala (CONRED) berkata, ia memutuskan untuk memindahkan penduduk di perbandaran Escuintla dan dua daerah lagi.

Kira-kira 4,000 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan sementara sebagai langkah berjaga-jaga.

Jurucakapnya, Daivd de Leon berkata, letusan semakin ganas selepas ia bermula pagi Ahad lalu, membawa kepada kebimbangan keselamatan ribuan penduduk di tinggal di lereng gunung setinggi 3,763 meter itu. — AFP

Categories
GLOBAL

Gunung Agung di Pulau Bali meletus lagi, keluar asap setinggi 3km

DENPASAR 26 NOV: Gunung Agung, gunung berapi di Pulau Bali dilaporkan meletus lagi dan mengeluarkan asap tebal setinggi 3,000 meter dan menyebabkan berlaku hujan abu.

Menurut Pusat Vulkanologi Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), setakat 12 tengah hari ini, status letusan gunung berapi itu masih pada tahap III (Siaga) dan berkemungkinan dinaikkan ke tahap IV (Berbahaya) jika keadaan bertambah serius.

Agensi berita Antara melaporkan penduduk di sekitar gunung berkenaan telah diminta berpindah dan tidak dibenarkan berada di kawasan sekitar enam hingga 7.5 kilometer dari kawasan gunung berkenaan.

Menurut Kompas, setakat ini belum terdapat arahan penutupan Lapangan Terbang Antrabangsa Gusti Ngurah Rai di Bali.

Namun, dilaporkan sebanyak 16 penerbangan membabitkan enam syarikat penerbangan iaitu Jetstar, KLM, Qantas dan Virgin Air telah membatalkan penerbangan dari dan ke Bali hari ini.

Kementerian Perhubungan juga dilaporkan telah menetapkan 10 lapangan terbang lain iaitu Jakarta, Makassar, Surabaya, Balikpapan, Solo, Ambon, Manado, Praya, Kupang dan Banyuwangi sebagai alternatif kepada semua penerbangan yang mahu membatalkan penerbangan mereka ke Bali.

Keadaan itu menyebabkan ribuan pelancong terkandas.

Sementara itu, jurucakap Lapangan Terbang Ngurah Rai, Arie Ahsanurrohim, berkata lapangan terbang itu beroperasi seperti biasa.

“Kami akan cuba memastikan keselesaan penumpang terkandas di lapangan terbang ini sebaik mungkin.

“Setakat ini, bilik khas disediakan bagi membolehkan mereka membuka beg dan menonton video untuk berehat,” katanya.

Difahamkan, sekurang-kurangnya 2,000 penumpang terjejas akibat gangguan penerbangan itu kebanyakannya pelancong dari Australia. –

SUMBER: BERNAMA / AFP

Categories
GLOBAL

Gunung Berapi Agung di kepulauan Bali meletus

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL/ ASIA 22 NOV: Gunung berapi di pulau pelancongan Bali, Gunung Agung, dilaporkan meletus petang semalam dan mengeluarkan asap kelabu buat pertama kali dalam tempoh lebih 50 tahun.

Sebelum ini, kira-kira 140,000 penduduk di kawasan sekitar gunung itu diarahkan berpindah ekoran amaran gunung itu meletus bila-bila masa.

Pada kejadian letusan gunung itu pada 1963 menyebabkan kira-kira 1,600 terkorban.

Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), letusan terbaru itu berlaku pada jam 5.05 petang waktu tempatan dan mula mengeluarkan asap kelabu setinggi 600 meter.

“Orang ramai di sekitar Gunung Agung, pendaki, pengunjung dan pelancong diminta supaya tidak berada, tidak melakukan pendakian dan tidak melakukan aktiviti di Zon Perkiraan Bahaya,” kata Ketua Pusat Data Informasi BNPB Sutopo Purwo Nugroho, yang dipetik dalam laporan agensi berita Antara.

Zon Perkiraan Bahaya adalah meliputi kawasan lingkungan enam kilometer dari kawah puncak Gunung Agung.

Sementara itu, menurut laporan media dalam talian, Kementerian Perhubungan Indonesia dilapor menyatakan semua penerbangan luar dari, dan ke Bali ketika ini masih dijadual seperti biasa.

Indonesia terletak di “Ring of Fire” di Pasifik di mana plat tektonik menyebabkan sering berlaku aktiviti seismik dan gunung berapi sering.

Mengikut anggaran rasmi, pulau percutian Bali kehilangan sekurang-kurangnya $ 110m (£ 83m) dalam pelancongan dan produktiviti sementara penduduk tempatan dipindahkan ke tempat perlindungan.

Walau bagaimanapun, lapangan terbang pulau itu tetap terbuka tanpa sebarang perubahan penerbangan dan kawasan pelancongan selamat menurut agensi bencana Indonesia.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

6,000 dipindahkan di Vanuatu ancaman gunung berapi

GLOBAL 26 SEPT: Lebih 6,000 penduduk dipindahkan ke tempat perlindungan sementara di pulau utara Ambae, Vanuatu di Pasifik Selatan hari ini susulan ancaman letusan gunung berapi.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan Pejabat Pengurusan Bencana Vanuatu berkata, gunung berapi Monaro mula aktif awal bulan ini namun aktivitinya meningkat hujung minggu lalu apabila mengeluarkan debu dan gas, mencetuskan kebimbangan akan berlaku letusan.

Pihak berkuasa sudah mewujudkan 15 pusat perlindungan namun skala besar pemindahan mengekang bekalan, kata pengarah pejabat berkenaan, Shadrack Welegtabit.

“Kita mengalami musim kering dan dengan debu mencemari bekalan, kebimbangan terbesar ketika ini ialah mendapatkan air bersih untuk penduduk yang berlindung,” Welegtabit kepada Reuters.

Vanuatu4Kali terakhir gunung berapi di Ambae meletus ialah pada 2005.

Pekerja bantuan berkata, Vanuatu, satu daripada negara termiskin dunia, di mana penduduk tempatan bergantung sepenuhnya kepada makanan ditanam sendiri.

Negara itu, terdiri daripada lebih 80 pulau berselerak, didiami 260,000 penduduk, terletak di lingkaran api Pasifik yang aktif secara geologi. Gunung berapi terletak di pulau Tana adalah antara tarikan utama pelancong.

 

Vanuatu

 

Vanuatu3

=EZY=

Categories
GLOBAL

Costa Rica isytihar amaran hijau, gunung berapi letuskan abu

SAN JOSE 7 JAN: Costa Rica mengisytiharkan perintah darurat selepas gunung berapi meletuskan abu yang memaksa semua penerbangan antarabangsa ditangguhkan dan mencetuskan suasana cemas di ibu negara berkenaan.

Gunung berapi itu mula mengeluarkan debu secara konsisten sejak dua minggu lalu menyebabkan debu meliputi pokok, bangunan dan kereta di sekitar kawasan letusan itu.

Kawasan terlibat adalah Barva, Moravia, Santa Bárbara, Guadalupe, Coronado, Santo Domingo, Tibás, Pavas, Carrizal, Sabanilla dan Alajuela.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan Negara itu mengeluarkan perintah darurat bagi ibu negara San Jose dan beberapa bandar raya berhampiran.

“Untuk beberapa hari ini, Gunung Berapi Turrialba berterusan mengeluarkan abu,” kata Suruhanjaya Kecemasan Kebangsaan (CNE) dalam satu kenyataan hari ini.

San Jose terletak kira-kira 36 kilometer (km) dari gunung berapi itu yang mempunyai ketinggian 3,432 meter dari bawah paras laut.

Kepulan debu dan asap dari Turrialba dibawa angin menghala ke San Jose dan beberapa bandar lain seperti Heredia, Cartago dan Alajuela, iaitu bandar yang terletaknya lapangan terbang antarabangsa.

Jabatan Pemantauan Seismologi dan Gunung Berapi di Universiti Costa Rica berkata, gegaran seismik dikesan semakin meningkat di kawasan gunung berapi Turrialba.

CNE mengeluarkan nasihat kepada penduduk agar memakai pelindung mata, topi dan pakaian yang sesuai ketika berada di luar kediaman.

Mereka juga diminta agar mencuci sayur-sayuran yang dipetik dari kawasan gunung berapi kerana dikhuatiri abu boleh memudaratkan kesihatan.

=EZY=