Categories
KENYATAAN MEDIA

Dasar anti Islam Trump: Najib perlu panggil mesyuarat tergempar OIC

OLEH LIM KIT SIANG

Najib perlu memanggil mesyuarat tergempar OIC untuk menuntut Trump membatalkan perintah eksekutif yang berunsur anti-Islam untuk menghalang warga dari sekurang-kurangnya tujuh negara Islam daripada masuk ke Amerika Syarikat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memanggil mesyuarat tergempar Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) untuk menuntut Presiden Trump membatalkan perintah eksekutif yang berunsur anti-Islam untuk menghalang pelarian dan warga dari sekurang-kurangnya tujuh negara Islam daripada memasuki Amerika Syarikat selama 90 hari.

Perintah eksekutif Trump, yang buat sementara waktu menghentikan kemasukan semua pelarian selain sekatan selamanya untuk pelarian dari Syria, juga buat sementara mengharamkan kemasukan pemegang visa dari sekurang-kurangnya tujuh negara Islam: Iran, Iraq, Syria, Sudan, Somalia, Libya dan Yemen.

oiclogoPerdana Menteri harus menghantar mesej segera kepada Trump untuk membantah perintah eksekutif ini sebagai satu bentuk penghinaan, tidak berperikemanusiaan dan tidak menunjukkan nilai negara Amerika yang sebenar.

Mesej bantahan dan kecaman daripada Najib terhadap perintah eksekutif ini adalah penting untuk disegerakan kerana beliau telah mengeluarkan satu mesej tahniah pada 21 Januari semasa Trump mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45.

* Lim Kit Siang adalah Ketua Parlimen DAP