Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Elavarasan yakin PKNS FC mampu bangkit

OLEH AFIX REDZUAN

JENGKA, 22 JAN: Ketua Jurulatih PKNS FC, E Elavarasan tetap memuji aksi anak buahnya walaupun terpaksa menerima kekalahan tipis 1-0 menentang Felda United.

Katanya, beliau percaya kelemahan pada perlawanan itu dapat diperbaiki bagi menghadapi liga musim 2017 walaupun tidak dapat menurunkan kesebelasan utama terbaik.

“Selalunya bila buat kesilapan, kita akan lakukan lebih baik untuk perlawanan akan datang. Kita akan bangkit dan akan kembali dalam perlawanan akan datang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Tun Abdul Razak, di sini, semalam.

PKNS FC (3)Elavarasan turut melahirkan keyakinan barisan serangannya akan kembali mempertajamkan penyudah walaupun terlepas beberapa peluang untuk menjaringkan gol penyamaan.

Sementara itu bagi Ketua Jurulatih Felda United, Azmi Mohamed, kejayaan mengutip tiga mata penuh semalam akan memberikan tonik berharga buat pasukannya meneruskan saingan selepas ini.

Katanya, persembahan jentera serangan khususnya penyerang, Norshahrul Idlan Talaha yang menghasilkan gol tunggal buat Felda United membolehkan mereka meraih kemenangan.

“Pemain menunjukkan semangat dan kesungguhan yang baik. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pasukan pada malam ini (semalam),” katanya.

Menurut beliau, keserasian pemain diharapkan dapat diperbaiki selepas ini walaupun mengakui barisan pemain sedia ada adalah pasukan terkuat yang dimiliki musim 2017.

-NFN-