Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Faktor Trump sukarkan ringgit pulih

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Faktor Trump dijangka terus memberi kesan positif kepada dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus meneruskan tekanan kepada ringgit untuk kembali kukuh dalam pasaran matawang.

Ahli Ekonomi, Tan Sri Dr Kamal Salih berkata, hal itu ekoran dasar yang akan diperkenalkan Presiden baru Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menambah keyakinan ahli perniagaan terhadap pertumbuhan ekonomi negara ‘Uncle Sam’ itu.

“Sama ada dia stabil atau tidak, bergantung kepada pasaran dan permintaan. Kalau ekonomi kita baik, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mampu berkembang dengan unjuran lebih empat peratus ada kemungkinan permintaan itu akan kembali stabil.

“Bagaimanapun, masalahnya sekarang adalah kekuatan dolar AS kerana cadangan Trump akan datang ini memberi keyakinan kepada pihak ahli perniagaan iaitu dasarnya makin mengukuhkan dolar. Bila dolar semakin kukuh akan menyebabkan ringgit kita semakin terancam,” kata bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) itu.

kamal salihKamal berkata demikian pada Forum ‘Integration with Integrity’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di Damansara, di sini, semalam.

Beliau yang kini merupakan Profesor Adjunct Pengajian Ekonomi dan Pembangunan di Universiti Malaya menjelaskan, negara ketika ini harus berusaha mengembalikan keyakinan kepada pelabur terhadap pertumbuhan dan potensi ekonomi negara untuk berkembang.

Bagaimanapun, katanya, keyakinan pelabur turut dipengaruhi pelbagai isu lain seperti politik dan skandal rasuah seperti kes melibatkan 1Malaysia Develompent Berhad (1MDB).

Kamal berkata, kemerosotan ringgit akan mengakibatkan inflasi meningkat, kos sara hidup tinggi, peluang pekerjaan berkurangan dan kesan negatif lain.

Selain Kamal, forum anjuran Alumni Maktab Tentera Diraja itu turut menampilkan beberapa bekas pelajar maktab berkenaan yang mencipta nama dalam bidang masing-masing.

Mereka adalah Penyelidik Kanan (kesihatan & dasar sosial), Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan, Fakulti Ekonomi & Pentadbiran Universiti Malaya, Profesor Chan Chee Khoon; Pengarah Eksekutif Man Yau Holdings Berhad, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail; ahli ekonomi terkenal, Jomo Kwame Sundaram dan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

-NFN-