Categories
NASIONAL

Fenomena mahasiswa lapar semakin serius?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 JAN: Satu kajian Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia pada 2016 mendapati lebih 75 peratus daripada mahasiswa tidak mempunyai wang cukup untuk makan.

Fenomena mahasiswa lapar ini amat berbeza dengan suasana sebelum kerajaan mula memperkenalkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan mengurangkan peruntukan pendidikan.

“Selain peruntukan khas daripada Kerajaan, dermasiswa dan biasiswa bantuan kerajaan yang merupakan sandaran pelajar miskin juga dipotong. Antara 2015 hingga 2016 sebanyak lebih RM800 juta atau 27 peratus dan ini menimbulkan fenomena baru.

MAHASISWA LAPAR“Satu kajian Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia pada awal 2016 mendapati lebih 75 peratus daripada mahasiswa yang diselidik tidak cukup wang untuk makan di mana ini fenomena mahasiswa lapar.

“Kalau dahulu nasib petani di Baling diperjuangkan oleh mahasiswa tetapi hari ini mahasiswa sendiri yang kelaparan dalam kampus. Ini satu fenomena yang serius,” kata Nik Nazmi pada Forum Pendidikan Percuma Penyelesaian Kemelut PTPTN di Rumah Gerakbudaya di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, bagaimanapun pelajar IPTA lebih bernasib baik berbanding pelajar di IPTS yang terpaksa mengeluarkan kos lebih tinggi.

Katanya, maka sebab itulah Pakatan sebelum ini mencadangkan satu langkah radikal iaitu memberi pendidikan percuma kepada rakyat.

Katanya lagi, perkara itu boleh dilaksanakan sekiranya, kerajaan berjaya mengatasi masalah rasuah, ketirisan dan pembaziran yang banyak berlaku dalam kerajaan hari ini.

-nR-