Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK serah laporan siasatan insiden letupan bunga api esok

OLEH AFIX REDZUAN

PELABUHAN KLANG, 15 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan menyerahkan laporan siasatan dalaman berhubung insiden bunga api kepada pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor, esok.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya sudah menyiapkan laporan dalaman itu dan hanya menunggu Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk membuat tindakan selanjutnya berhubung perkara terbabit.

“Siasatan laporan dalaman telah siap dan hari Isnin (16 Januari) kita akan serahkan ke pejabat Dato’ Menteri Besar. Buat masa ini laporan mengenainya belum dapat kita dedahkan.

MB Pulau Indah“Saya difahamkan, polis juga sudah selesai siapkan siasatan dan menyerahkan laporan mereka kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan siasatan insiden letupan bunga api di Pandamaran, pada 1 Januari lalu.

Mengulas mengenai pegawai MPK yang diberikan cuti ekoran terlibat dalam insiden berkenaan, Mohamad Yasid berkata, pihaknya akan memanggil pegawai itu kembali bekerja sekiranya tiada kecuaian atau salah laku membabitkannya dalam insiden berkenaan.

“Berhubung status pegawai itu, ia turut bergantung pada siasatan polis,” katanya.

Dalam insiden jam 12.05 tengah malam itu, 12 dewasa dan empat kanak-kanak cedera apabila bunga api yang dipasang bagi meraikan kedatangan tahun baru menuju ke arah penonton serta meletup.

Pertunjukan bunga api itu diadakan sempena Fiesta Gegar Klang 2016 anjuran MPK yang berlangsung, dari 30 Disember sehingga 1 Januari lalu.

-NFN-