Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Insiden bunga api: Pegawai bertanggungjawab dihadap lembaga tatatertib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JAN: Jawatankuasa Penyiasatan insiden bunga api pada program Fiesta Gegar Klang, baru-baru ini mendapati seorang ketua jabatan bertanggungjawab menguruskan pertunjukan bunga api terbabit walaupun tidak diputuskan dalam mana-mana mesyuarat peringkat MPK.

Exco Kerajaan Tempatan, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri berpendapat pegawai itu perlu dihadapkan ke Lembaga Tatatertib MPK sebelum memutuskan tindakan yang akan dikenakan berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 (SEL.P.U.7) selepas Kerajaan Negeri meneliti laporan itu.

“Kerajaan Negeri telah mendapat penjelasan dari MPK ke atas hasil siasatan yang diambil berhubung insiden bunga api yang digunakan untuk pertunjukan bunga api di Fiesta Gegar Klang sempena sambutan tahun baru 2017, meledak dan meletup lebih awal di tanah sebelum ia sempat ke udara.

eanyong“Bagi menyiasat insiden terbabit, MPK menubuhkan Jawatankuasa Penyiasatan dengan melantik empat pegawai dalaman untuk menganggotai jawatankuasa itu.

“Ia berfungsi untuk menyiasat dan mendapatkan keterangan lanjut berkaitan pertunjukan bunga api merangkumi kelulusan program, perbelanjaan, proses semakan dokumen dan menyediakan laporan siasatan,” katany dalam satu kenyataan medianya di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Selangor (Kelakuan dan Tatatertib) 1995 (SEL.P.U.7), antara tindakan yang boleh dikenakan adalah amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun pangkat dan buang kerja.

Katanya, Kerajaan Negeri memandang serius ke atas kejadian yang menyebabkan kemalangan kepada orang awam akibat daripada kecuaian penjawat awam.

“Kerajaan Negeri juga amat berharap semua pelaksanaan program dan aktiviti di peringkat negeri, daerah juga pihak berkuasa tempatan perlu mengambil kira kepentingan dan keselamatan orang awam dalam semua aspek,” katanya.

-NFN-