Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu lepasan Kolej Vokasional tanpa SPM

Merujuk kepada kenyataan mengenai LEPASAN KV TANPA SPM TAK LAYAK IKUTI PROGRAM IJAZAH yang disiarkan oleh akhbar tempatan pada 6 Januari 2017, pihak MQA ingin menjelaskan bahawa lepasan Kolej Vokasional (KV) yang menerima Diploma Vokasional Malaysia (DVM) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berkeinginan untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah boleh memohon untuk kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh negara.

 

Kemasukan ini boleh dibuat melalui laluan Teknikal & Vokasional dengan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak MQA iaitu pengalaman kerja sekurang-kurangnya sehingga berumur 21 tahun dan mendapat sijil Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) (Rujuk carta yang dilampirkan:Laluan Graduan DVM Ke IPT).

Selain itu, lepasan KV yang menerima sijil DVM juga boleh melanjutkan pengajian ke IPT secara serta merta boleh dipertimbangkan dengan syarat iaitu lulus kesetaraan Sijil Pelajaran Malaysia – Sijil Vokasional Malaysia (SPM-SVM) yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan, KPM dan syarat-syarat lain yang dipersetujui oleh kedua-dua Kementerian.

Ini menunjukkan bahawa setiap lepasan KV masih berpeluang untuk melanjutkan pengajian walaupun memasuki alam pekerjaan lebih awal. Sijil APEL yang dikeluarkan oleh MQA diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai menggantikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu syarat minimum yang ditetapkan untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, pihak MQA ada menyediakan kemudahan semakan untuk orang awam dengan melayari portal APEL iaitu www.mqa.gov.my/APEL atau menghubungi MQA di talian 03-7968 2253 / [email protected] (Hazirah), atau 03-7968 3315 / [email protected] (Izzatyliyana) untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Sumber : Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Unit Hal Ehwal Awam dan Antarabangsa
Tel : 03-7968 7002
Emel : [email protected].