Categories
NASIONAL

JAKIM jawab isu tular Biskut Sembahyang Orang Cina

SHAH ALAM 10 JAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyatakan ‘Biskut Sembahyang Orang Cina’ didaftarkan dengan nama Iced Gem dan dikilangkan/dikeluarkan oleh beberapa syarikat yang merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

JAKIM menyatakan perkara demikian ekoran tular mendakwa menyebut biskut tersebut dari lelemak haiwan yang tidak halal mula disebarkan dan mengundang keresahan dalam kalangan pengguna.

“Kebanyakan pemborong menjualnya kembali dalam bentuk timbang/sukat dan paket-paket yang kecil (pembungkusan semula) dan ada di antaranya yang belum memohon pensijilan halal.

“Justeru, jadilah pengguna yang bijak dengan mengutamakan produk biskut yang mempunyai Sijil/Logo Pengesahan Halal Malaysia atau Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM,” kata Unit Hal Ehwal Korporat Bahagian Hab Halal JAKIM.

Untuk semakan lanjut berkenaan produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM boleh layari www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar myJakim.

Bagi sebarang kemusykilan dan penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular (viral) boleh layari laman FB Bahagian Hab Halal, JAKIM di https://m.facebook.com/HabHalalJakim.

=EZY=