Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir Pantai Timur menurun

SHAH ALAM, 23 JAN: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 8,392 orang setakat jam 8 pagi ini berbanding 10,402, pada jam 9 malam tadi.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir melaporkan, 49 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir terbabit dari lima jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok dan Kuala Krai.

51484965968_BanjirKotaBharuSeramai 3,725 daripada 1,033 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan di Kota Bharu, 2,546 (696 keluarga) di 10 pusat pemindahan di Pasir Puteh dan 1,547 (555 keluarga) ditempatkan di 19 pusat pemindahan, di Pasir Mas.

Seramai 522 (141 keluarga) ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Bachok dan 52 (14 keluarga) ditempatkan di dua pusat pemindahan di Kuala Krai.

Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun kepada 9.97 meter (m) berbanding 10.05m pada jam 8 malam tadi, yang melepasi paras bahaya iaitu 9.00m.

Sementara itu, hari keempat banjir di Terengganu terus menunjukkan pemulihan positif dengan penurunan jumlah mangsa kepada 904 setakat jam 8 pagi ini, berbanding 1,155 malam tadi.

Sebanyak 23 pusat pemindahan masih beroperasi dan menempatkan 247 keluarga di lima daerah.

Di Besut, keadaan bertambah baik apabila jumlah mangsa terus menurun kepada 155 (40 keluarga) berbanding 344 (84 keluarga), malam tadi.

-NFN-