Categories
AGAMA BERITA UTAMA

MB: Masjid Negeri pelopor pusat keilmuan Islam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 JAN: Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi pelopor kepada masjid di seluruh negeri melalui program keilmuan pengajian bersijil yang menyuntik kesegaran masjid sebagai pusat keilmuan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia sebagai bukti dan komitmen ke arah menjadikan Shah Alam sebagai pusat perkembangan dan gagasan tradisi ilmiah.

Katanya, langkah itu akan menangkis persepsi negatif dalam kalangan masyarakat dunia kononnya masjid adalah sarang pembiakan fahaman ekstrim, radikal dan militan.

“Melalui program ini, Masjid Negeri menjadi teladan kepada masjid lain dalam menyampaikan ilmu Islam.

“Dalam sejarah tamadun Islam, masjid adalah asas kepada pembinaan sesebuah universiti seperti yang berlaku di Universiti Al-Azhar,” katanya ketika merasmikan Konvokesyen Pengajian Bersijil sesi 2016, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Dewan Jubli Perak, di sini.

Mohamed Azmin berkata, Selangor negeri yang berjaya dalam bidang ekonomi dan industri menjadikan tumpuan tempat berhijrah, sekali gus membawa cabaran sosial serta pemikiran.

AzminKatanya, umat Islam ketika ini berdepan dengan pelbagai cabaran sengit akibat perubahan dunia yang berlaku dengan pantas.

“Ia menjadikan umat Islam tersepit antara pembangunan kebendaan dengan pertimbangan kerohanian. Kedangkalan ilmu ditambah dengan fahaman sempit terhadap Islam mencetuskan suasana emosi menguasai fikiran yang rasional.

“Ramai yang berpendapat, jihad adalah mengorbankan nyawa dengan menjadi ‘suicide bomber’. Begitu juga anak muda yang memperjuangkan Islam tetapi dangkal daripada segi penguasaan ilmu sehingga terheret kepada gerakan militan,” katanya.

Justeru, pelaksanaan program pendidikan Islam yang sistematik seperti yang dipelopori Masjid Negeri, masyarakat boleh mendalami ilmu Islam dan terbuka pada semua peringkat usia.

Beliau yakin, program talaqqi Al-Quran boleh dikembangkan kepada talaqqi kitab turath muktabar dan pengajaran Bahasa Arab pada peringkat menengah serta tinggi bukan sahaja akan melengkapkan peserta menjadi ilmuan, bahkan ke arah melahirkan ulama.

Sebanyak 8,000 graduan sejak penubuhan program pada tahun 2000 yang memberi peluang kepada jemaah dan masyarakat sekitar Shah Alam mempelajari Al-Quran, Bahasa Arab, Taranum serta asas Syariah.

-NFN-