Categories
AGENDA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir Kelantan, Terengganu meningkat pagi ini

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Situasi banjir di Terengganu dan Kelantan terus menunjukkan peningkatan dengan seramai 19,626 mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri pagi ini berbanding 14,521 individu, malam tadi.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa meningkat kepada 11,137 orang daripada 3,177 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 6,963 orang daripada 2,072 keluarga semalam dan ditempatkan di 157 PPS yang beroperasi merangkumi lapan daerah iaitu 44 di Besut, Setiu (30), Hulu Terengganu (27), Dungun (23), Kemaman (22), Kuala Nerus (lapan), Kuala Terengganu (dua) dan Marang (satu).

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan cuaca di kebanyakan daerah di negeri berkenaan dijangka baik pada pagi ini manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan enam sungai masih di paras bahaya.

Enam sungai berkenaan adalah Sungai Kemaman dan Sungai Tebak di Kemaman, Sungai Nerus (Setiu), Sungai Telemong (Hulu Terengganu), Sungai Dungun (Dungun) dan Sungai Terengganu (Kuala Terengganu).

Sementara itu, di KELANTAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 8,489 orang daripada 2,750 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 7,558 orang daripada 2,449 keluarga, semalam.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 68 PPS dibuka melibatkan tujuh daerah iaitu 18 di Pasir Mas, Kuala Krai (16), Tanah Merah (14), Jeli (lapan), Pasir Puteh (enam), Machang (lima) dan satu di Kota Bharu.

Portal JPS pula melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah, Sungai Kelantan di Temangan,Machang serta Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima sungai utama Kelantan pada paras bahaya, jumlah mangsa banjir terus meningkat

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Kelantan, mencatatkan peningkatan malam ini.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,237 orang membabitkan 339 keluarga setakat 10 malam ini, berbanding 975 orang daripada 269 keluarga pada petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 22 PPS beroperasi malam ini iaitu 12 di Kemaman, empat di Setiu dan masing-masing tiga di Hulu Terengganu dan Besut.

Di KELANTAN, mangsa banjir di Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli, meningkat kepada 400 orang daripada 113 keluarga setakat 9 malam ini berbanding 52 orang daripada 17 keluarga petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan sebanyak 11 PPS dibuka melibatkan masing-masing empat di Kuala Krai dan Tanah Merah manakala tiga di Jeli.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan lima sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (40.31m), Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (26.38m), Sungai Kelantan di Temangan, Machang (18.87m) dan Kampung Sungai Nal di Kuala Krai (25.01m).

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu hari ini, dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Hujan lebat dan angin kencang berkenaan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Feb, namun ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem cuaca tekanan rendah itu untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.

Sementara itu di SELANGOR, 10 buah rumah di Jalan Wangsa Utama, Taman Wangsa Permai, Sungai Buloh dilanda banjir kilat selepas tembok pagar perumahan di situ runtuh akibat hujan lebat berterusan sejak petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata runtuhan tersebut menyebabkan laluan air longkang terhalang hingga berlakunya banjir kilat setinggi 0.45 meter kira-kira 6.02 petang, bagaimanapun tiada pemindahan mangsa banjir dilaporkan.

Katanya kawasan lain di Sungai Buloh turut dilanda banjir kilat membabitkan Stesen Komuter Sungai Buloh, Kampung Cempaka 2, Kampung Paya Jaras Hilir dan Kampung Batu Gajah, selain menyebabkan beberapa insiden kenderaan dinaiki air.

“Selain itu, beberapa lokasi berisiko banjir yang kini dalam pemantauan iaitu Kunci Air Sri Muda, Kunci Padang Air Jawa dan Seksyen 13 masing-masing di Shah Alam, Kampung Sungai Laksamana dan Kampung Sungai Kertas (Selayang); Kampung Sungai Serai dan Kompleks Penghulu Batu 10 Cheras (Cheras).

“Turut dipantau Jalan Semenyih, Kampung Sungai Kantan, Pekan Kajang, Jalan Mendaling, Kampung Jambu dan Taman Muhibah di Kajang serta Bayu Permai, Taman Velox, Bandar Country Homes, Kampung Bakau, Pekan Rawang, Taman Tun Teja dan Taman Jati (Rawang),” katanya dalam kenyataan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hujan lebat berterusan, negeri Pantai Timur kembali dilanda banjir

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Hujan lebat berterusan di negeri-negeri di Pantai Timur sejak dua hari lepas menyebabkan beberapa daerah di Terengganu, Pahang dan Kelantan kembali dilanda banjir.

Di TERENGGANU, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka sejak pagi tadi iaitu tujuh di Kemaman dan satu di Setiu membabitkan 383 orang daripada 114 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan 191 individu daripada 55 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, diikuti Balai Raya Padang Kubu (79 orang, 26 keluarga), Dewan Sivik Air Putih (50 orang, 12 keluarga), Masjid Kampung Dadong (tujuh orang, dua keluarga), Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor (tujuh orang, dua keluarga), SK Air Putih (tujuh orang, dua keluarga) dan Balairaya Padang Kemunting (empat sekeluarga).

“Di Setiu pula, 38 individu daripada 14 keluarga ditempatkan di Balairaya Kampung Hulu Seladang,” menurut kenyataan itu.

Di KELANTAN, tiga PPS dibuka iaitu dua di Tanah Merah dan satu di Kuala Krai melibatkan 52 orang daripada 17 keluarga setakat 4 petang tadi.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan dua PPS tersebut iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang dan SK Klewek di Tanah Merah serta Masjid Lama Keroh di Kuala Krai.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiga sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas merekodkan bacaan 29.75 meter (m), Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai (37.54 m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (25.19 m).

Di KUANTAN, kawasan di Kampung Bantal, Jerantut yang bersebelahan Sungai Tembeling dinaiki air sejak tengah malam tadi namun tiada PPS dibuka setakat ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bantal Zamzarina Manap berkata ia melibatkan beberapa kedai runcit, kedai makan dan chalet.

Berdasarkan JPS melalui laman web rasminya memaklumkan paras air di dua sungai di Pahang sudah melebih paras waspada iaitu Sungai Tembeling di Jerantut dan Sungai Keratong di Rompin.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu hari ini, dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Hujan lebat dan angin kencang berkenaan, dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Feb, namun ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem ini untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Terengganu kembali dilanda banjir, jumlah mangsa di Kelantan meningkat

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Hujan lebat berterusan mengakibatkan Terengganu kembali dilanda banjir manakala Kelantan menunjukkan pertambahan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS), petang tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran cuaca peringkat bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan yang dijangka dialami 11 kawasan di tiga negeri pantai timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang hingga esok.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan Dungun menjadi daerah pertama dilanda banjir gelombang ketiga apabila PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dibuka pada pukul 4 petang yang menempatkan 69 mangsa daripada 22 keluarga.

Banjir gelombang kedua melanda negeri itu pada 17 hingga 21 Dis lepas menyaksikan seramai 423 mangsa daripada 122 keluarga dipindahkan ke PPS di Setiu, Dungun dan Kemaman.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 856 orang daripada 245 keluarga setakat 6 petang ini, berbanding 501 orang daripada 142 keluarga, tengah hari tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), 11 PPS dibuka melibatkan dua jajahan iaitu tujuh di Jeli dan empat di Kuala Krai.

Sementara itu, portal rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan dua sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli dengan merekodkan bacaan 29.58 meter (m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (23.69 m).

Portal rasmi pengurusan bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) pula melaporkan jalan yang menghubungkan Jeli-Dabong di Kampung Reka, Jeli ditutup kepada semua kenderaan setelah dinaiki air.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 4,368 orang di 38 PPS di daerah Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan dan Maran.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang melaporkan hanya Jalan Kampung Belimbing di Maran yang masih ditutup petang tadi, berbanding enam di lima daerah pada sebelah pagi.

Laman web JPS pula melaporkan Sungai Cherating di Kuantan berada para paras bahaya dengan trend menurun, manakala lima sungai pada paras waspada iaitu Sungai Kundang di Maran, Sungai Dong (Raub), Sungai Triang di Chemomoi (Bentong) dan Sungai Kuantan di Bukit Kenau serta Sungai Lembing, kedua-duanya di Kuantan.

Sementara itu, situasi di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pula menunjukkan keadaan banjir semakin pulih.

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa di negeri itu kini 466 orang melibatkan 132 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

Empat PPS tersebut adalah Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding (20 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil (77 orang) di Hulu Langat, Stadium Tertutup Kuala Selangor (201 orang) dan SMK Kuala Selangor (168 orang).

Di NEGERI SEMBILAN, mangsa banjir kekal 29 individu manakala di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata PPS tunggal yang menempatkan mangsa banjir di Jasin telah ditutup pada 2 petang tadi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran hujan sangat lebat hingga esok di tiga negeri Pantai Timur

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Amaran cuaca peringkat bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan dijangka dialami di tiga negeri Pantai Timur Semenanjung – Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Jumaat 31 Dis.

Amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada 1.25 tengah hari ini, menyebut kawasan-kawasan yang terlibat di tiga negeri itu ialah Jeli (Kelantan), Kemaman (Terengganu) dan Kuantan (Pahang).

Amaran cuaca buruk peringkat jingga iaitu hujan lebat berterusan juga dikeluarkan untuk kawasan Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan; Besut Hulu Terengganu dan Dungun di Terengganu; dan Jerantut, Maran dan Pekan di Pahang sehingga 1 Jan.

Sehubungan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan berlaku banjir secara berperingkat di beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu malam ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS itu, risiko banjir diramal di Kelantan bermula pukul 8 malam di jajahan Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Machang, Gua Musang dan Pasir Mas.

Banjir juga diramal di Terengganu secara berperingkat pada 8 malam ini (30 Dis) di beberapa daerah antaranya Setiu, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut, manakala risiko banjir diramal di Pahang esok (31 Dis) di daerah Lipis, Raub, Maran, Temerloh dan Jerantut serta kawasan rendah sekitarnya.

“Kawasan lain di Pahang adalah di sekitar Sungai Kuantan, Sungai Rompin, Sungai Pontian dan Sungai Endau melibatkan kawasan di sekitar Kuantan dan Rompin,” menurut kenyataan itu.

Bagi negeri Johor, banjir diramal pada 2 petang esok (31 Dis) melibatkan kawasan di sekitar Sungai Mersing, sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Skudai dan Sungai Tebrau melibatkan daerah Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Sementara itu, amaran peringkat waspada iaitu hujan berterusan sehingga 1 Jan diramal di Perlis; Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling); Perak (Hulu Perak); Kelantan (Tumpat Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Putih); Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang); Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin) serta Johor.

Hujan berterusan juga dijangka di Sabah melibatkan pantai barat (Ranau); Tawau (Lahad Datu); Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan); serta Kudat sehingga 2 Jan.

Berikutan itu, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga diminta memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan, menurut kenyataan itu.

Nadma melalui NDCC akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Agong titah penduduk lima negeri siap sedia

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat khususnya di negeri-negeri pantai timur, Johor dan Sabah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan berlaku banjir besar akibat hujan lebat yang berterusan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata titah nasihat Yang di-Pertuan Agong itu susulan amaran tahap waspada (kuning) iaitu hujan berterusan di beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah sepanjang minggu ini hingga 2 Jan depan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi, kelmarin.

“Seri Paduka turut menasihati rakyat, khususnya di kawasan berisiko dilanda banjir juga peka terhadap ramalan dan amaran yang telah dikeluarkan serta sentiasa berwaspada sekiranya paras air naik secara mendadak akibat hujan lebat yang berterusan.

“Ini termasuklah mematuhi semua arahan dan panduan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya dikehendaki berpindah dari kediaman masing-masing demi keselamatan diri dan ahli keluarga tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menzahirkan keprihatinan tinggi Seri Paduka terhadap kemaslahatan rakyat, Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah menyeru semua pihak mengambil iktibar daripada pengalaman bencana banjir sebelum ini untuk memperbaiki sebarang kelemahan dan kekurangan dalam menghadapi sebarang kemungkinan khususnya urusan pasca banjir.

Sehubungan itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Seri Paduka menasihati agensi-agensi kerajaan berkaitan dan PBT supaya tidak leka dan proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan, koordinasi dan penyelarasan pengurusan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di tahap terbaik.

Beliau berkata Seri Paduka menzahirkan harapan dan keyakinan bahawa menerusi persediaan awal dengan disusuli tindakan terancang, operasi menyelamat dan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap, khususnya mereka berada di kawasan berkepadatan tinggi dan pedalaman dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Seri Paduka turut mengajak semua rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar gelombang kedua banjir yang akan berlaku ini tidak berpanjangan dan negara serta rakyat dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana,” kata Ahmad Fadil.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelancongan negeri pantai timur dijangka pulih dalam tempoh singkat

KOTA BHARU, 13 OKT: Sektor pelancongan di negeri-negeri pantai Timur dijangka kembali pulih dalam tempoh singkat berikutan sambutan dan kehadiran pengunjung yang dicatatkan di lokasi tarikan pengunjung sangat memberangsangkan.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Hafiz Hazin berkata hasil tinjauan yang dilakukan di Kelantan, Terengganu dan Pahang mendapati banyak kawasan pelancongan sudah mula dikunjungi orang ramai.

“Sebagai contoh di Tasik Kenyir, Terengganu dalam tempoh tiga minggu sahaja direkodkan seramai 35,000 pelancong domestik datang selepas beralih dari Fasa Dua ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Tinjauan di Cameron Highlands, Pahang dan pulau-pulau juga menunjukkan sudah ada penerimaan pelancong dan itu satu petanda baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata pemain industri juga sudah bersedia menerima pelancong dalam kehidupan norma baharu.

“Sebagai contoh, bila pelancong datang dan sekiranya ada kes Covid-19, tempat mereka sudah pasti akan ditutup.

“Saya yakin pemain industri akan sentiasa memastikan segala syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dipatuhi,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Saliran tersumbat punca banjir pantai timur lambat surut

SHAH ALAM, 9 JAN: Anak sungai dan sistem saliran yang tersumbat dengan sampah sarap antara faktor yang menyebabkan banjir yang melanda negeri di pantai timur lambat surut, kata Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Katanya, sampah dan sisa banjir seperti pokok dan tanah menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan sempurna dan memburukkan lagi keadaan.

“Bila banjir berlaku, ada kawasan air banjirnya telah surut dengan cepat dan ada juga kawasan yang masih digenangi air untuk tempoh yang lama, ini berlaku kerana semasa banjir banyak sampah tersangkut di longkang dan anak sungai, mengakibatkan pengaliran air dari tempat banjir ke sungai terbatas.

“Untuk menyelenggara sistem saliran dan anak sungai ini memakan belanja yang besar, oleh itu kami amat memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk tidak membuang sampah merata-rata kerana jika banjir berlaku, air akan lambat surut ekoran sistem saliran tersumbat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Sungai Damansara National River Trail Project anjuran Management and Science University (MSU) di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden MSU Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Mengulas mengenai program berkenaan, Zaini berkata ia merupakan sebahagian daripada aktiviti bagi menyokong usaha kerajaan mewujudkan 10,000 kilometer laluan denai di tebing sungai bagi kegunaan rekreasi orang ramai menjelang 2030.

Katanya tujuan mewujudkan laluan denai berkenaan adalah bagi menggalakkan rakyat bersama-sama melakukan aktiviti menjaga alam sekitar terutama sungai yang merupakan sumber kepada bekalan air negara.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat di Pantai Timur, Sabah

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan serta beberapa kawasan di Terengganu, Pahang dan Sabah sehingga hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 7.25 pagi ini memaklumkan di Terengganu melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang manakala di Pahang pula melibatkan Tanah Tinggi Cameron, Lipis dan Jerantut.

Sementara itu, bagi Sabah pula, daerah yang terjejas melibatkan Sandakan (Telupid, Kinabatangan dan Beluran) serta Kudat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Naik taraf MRR2 siap, kurangkan sesak ke pantai timur

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kesesakan di laluan keluar masuk ke pantai timur khasnya sewaktu musim perayaan dijangka dapat dikurangkan apabila projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Persimpangan Taman Melati, Gombak kini siap sepenuhnya untuk kegunaan pengguna jalan raya bermula hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek bernilai RM106.83 juta itu membabitkan pelebaran laluan daripada tiga kepada lima lorong di persimpangan berkenaan.

“Pada hari biasa, laluan keluar masuk menghala ke Plaza Tol Gombak menerima jumlah kenderaan sekitar 80,000 hingga 120,000 dan ia bertambah teruk sewaktu musim balik kampung semasa perayaan sehingga mencecah 180,000 kenderaan sekali gus menyebabkan kesesakan yang agak kritikal.

“Diharap projek ini dapat memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya dalam membantu mengurangkan kesesakan di MRR2 dan juga Terminal Bersepadu Gombak yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas majlis penyerahan dan merasmikan projek menaik taraf MRR2 Persimpangan Taman Melati, Gombak di sini hari ini.

Projek menaik taraf jalan MRR2 ini telah dilaksanakan secara kontrak reka dan bina dan peruntukannya diperoleh menerusi Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang disalurkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Ia dimulakan pada 13 September 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Ogos tahun lepas dengan tempoh tanggungan kecacatan adalah selama dua tahun sehingga 2 Ogos 2021.

Fadillah berkata projek itu juga bakal memudahkan laluan masuk ke pusat Terminal Bersepadu Gombak, menyuraikan kesesakan lalu lintas dan memendekkan masa perjalanan selain mewujudkan rantaian perkhidmatan awam yang lebih selesa untuk ke Lembah Klang dan pusat bandar raya.

“Dijangkakan terminal itu akan siap sepenuhnya pada April atau Mei tahun depan sebelum Aidilfitri,” katanya.

Menurut siaran media yang diedarkan, terminal ini bakal menampung perkhidmatan bas ekspres ke koridor timur dan utara serta membolehkan pengalihan lebih daripada 700 bas ekspres daripada memasuki kawasan pusat perdagangan selepas terminal ini dibuka.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir Pantai Timur menurun

SHAH ALAM, 23 JAN: Jumlah mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 8,392 orang setakat jam 8 pagi ini berbanding 10,402, pada jam 9 malam tadi.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi aplikasi infobanjir melaporkan, 49 pusat pemindahan dibuka bagi menempatkan mangsa banjir terbabit dari lima jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Pasir Mas, Bachok dan Kuala Krai.

51484965968_BanjirKotaBharuSeramai 3,725 daripada 1,033 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan di Kota Bharu, 2,546 (696 keluarga) di 10 pusat pemindahan di Pasir Puteh dan 1,547 (555 keluarga) ditempatkan di 19 pusat pemindahan, di Pasir Mas.

Seramai 522 (141 keluarga) ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di Bachok dan 52 (14 keluarga) ditempatkan di dua pusat pemindahan di Kuala Krai.

Menurut portal ebanjir.kelantan.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang turun kepada 9.97 meter (m) berbanding 10.05m pada jam 8 malam tadi, yang melepasi paras bahaya iaitu 9.00m.

Sementara itu, hari keempat banjir di Terengganu terus menunjukkan pemulihan positif dengan penurunan jumlah mangsa kepada 904 setakat jam 8 pagi ini, berbanding 1,155 malam tadi.

Sebanyak 23 pusat pemindahan masih beroperasi dan menempatkan 247 keluarga di lima daerah.

Di Besut, keadaan bertambah baik apabila jumlah mangsa terus menurun kepada 155 (40 keluarga) berbanding 344 (84 keluarga), malam tadi.

-NFN-

Bantuan berterusan untuk mangsa banjir Pantai Timur

Semua peserta Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) menyumbang untuk membantu mangsa banjir di Pantai Timur. Majoriti penerima bantuan Skimsel merupakan dari masyarakat desa berpendapatan rendah dan amat memahami kesukaran yang dialami mangsa.