Categories
SELANGOR

Kerja bersungguh tingkat hasil negeri

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 JAN: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor PTGS) kini giat mengatur strategi meningkatkan hasil cukai tanah dan bayaran premium tanah.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, ia mengambil kira fakta bahawa lebih 80 peratus hasil Kerajaan Negeri merupakan diperoleh daripada dua sumber utama itu.

“Hari ini (semalam), saya bermesyuarat dengan pengarah PTGS dalam usaha mempertingkatkan keberkesanan prosedur pemberimilikan dan pembangunan tanah agar kutipan hasil dapat ditingkatkan.

“Dalam hal ini, setiap pentadbir tanah daerah akan memberikan anggaran hasil tahunan dan KPI bakal ditetapkan untuk dicapai pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Bulanan di Bangunan SUK di sini, semalam.

Mohd Amin berkata, semua penjawat awam perlu bekerja keras bagi memastikan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri sentiasa kukuh dan stabil.

“Harapan dan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri di Selangor adalah amat tinggi.

“Maka, ketua jabatan menggalas tanggungjawab besar dalam memimpin dan memandu pasukan masing-masing ke arah gagasan ini,” katanya.

=EZY=