Categories
SELANGOR SUKANKINI

Stadium Shah Alam diselenggara baik

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 17 JAN: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan dakwaan bahawa kerja penyelenggaraan dan pengurusan Stadium Shah Alam diabaikan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, MBSA sudah melaksanakan kerja membaiki bumbung sebanyak empat kali dengan kos RM78,263.40 pada 2015.

Katanya, MBSA dengan bantuan Kerajaan Negeri juga menyediakan 80 unit kamera litar tertutup (CCTV) dan menaik taraf satu unit ‘scoreboard’ dengan kos RM2.3 juta.

“Pada 2016, MBSA juga menaik taraf dan memperbaiki kemudahan dengan bantuan peruntukan Kerajaan Negeri sebanyak RM8.7 juta.

“Ia digunakan bagi membaiki bumbung, naik taraf pintu masuk, ruang menunggu VIP dan mengganti kerusi VVIP, VIP, penaja dan media.

“Pada masa sama, MBSA juga sedang menaik taraf lux (pencahayaan) lampu limpah daripada 1200 kepada 2000 lux dan dijangka siap pada pertengahan Mac nanti,” katanya kepada SelangorKini.

Shahrin berkata, MBSA sentiasa berusaha menambah baik fasiliti Stadium Shah Alam agar berkeupayaaan menjadi tuan rumah kepada kejohanan bola sepak di peringkat antarabangsa.

“MBSA tidak pernah gagal melaksanakan kerja penyelenggaraan stadium kebanggaan Selangor itu, sejak mengambil alih pengurusan pada 2003.

“Ia diuruskan Seksyen Pengurusan Stadium dengan pejabatnya terletak di Stadium Shah Alam sendiri,” katanya.

=EZY=