Categories
SELANGOR

Kerjasama pengusaha Taska – ibu bapa perlu, elak beban kadar yuran naik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 2 JAN: Kadar yuran Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang dinaikkan mulai Januari ini diharap berpatutan dan tidak membeban kalangan ibu bapa juga penjaga di Selangor.

Malah pengusaha Taska diharap tidak mengambil kesempatan terhadap perkara itu dan memberi kerjasama kepada golongan berkaitan demi kebaikan bersama.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Noor Hanim Ismail berkata, dengan kos operasi meningkat ketika ini tentunya kenaikan kadar yuran tidak dapat dielakkan tambahan dengan peningkatan kos sara hidup yang perlu ditempuh.

“Situasi menang-menang perlu dipraktikkan antara pengusaha Taska dan ibu bapa juga penjaga kerana kedua-duanya saling memerlukan.

“Biarpun kenaikan kadar yuran perlu tetapi kita berharap ia tidak mendatang bebanan terutama kepada golongan kurang berkemampuan dan pengusaha Taska juga boleh membantu dengan mendaftar anak mereka dengan skim bantuan disediakan Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri menyediakan Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SI KEMBAR) dikhaskan untuk kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah yang dihantar ke Taska atau Nurseri yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Melalui skim itu, ibu bapa yang layak dan memenuhi syarat akan menerima bantuan yuran Taska atau Nurseri anak mereka sebanyak RM100 setiap bulan dibayar terus kepada kedua-dua pusat berkenaan.

ADN Morib, Hasnul Baharuddin berkata, keadaan mendesak dewasa ini memberi kesan kepada pasangan ibu bapa dan diyakini kenaikan kadar yuran Taska juga tidak terkecuali.

“Ibu bapa terutama pasangan muda yang menghantar anak ke Taska pasti sedikit terbeban dengan kenaikan ini dan pengusaha Taska harus bertolak ansur dalam perkara berkaitan.

“Tentunya pengusaha Taska juga terbeban dengan keadaan dan perubahan yang perlu dilakukan tetapi diharap ia membawa kebaikan kepada semua,” katanya.

Bermula Januari ini, kadar yuran Taska di Selangor dinaikkan di antara RM10 hingga RM50 berikutan kos operasi yang semakin meningkat.

Pengerusi Taska Selangor, Mahanom Basri berkata, kali terakhir kenaikan berlaku pada 2013 ketika kerajaan memperkenal perintah gaji minimum kepada pekerja.

Katanya, perubahan terhadap kadar yuran perlu ekoran pengusaha taska bergelut dengan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan tahunan kadar sewa premis, peningkatan harga barangan selain perlu mematuhi peraturan daripada aspek kesihatan dan keselamatan ditetapkan agensi kerajaan.

=EZY=