Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Capai KPI gerakkan ekonomi, ikut perancangan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan diingatkan untuk memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi program menggerakkan ekonomi pasca Covid-19 tercapai.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata mesyuarat pertama mengenai perkara itu telah diadakan baru-baru ini.

“Saya beri ingatan sekali lagi kepada semua ketua setiausaha (kementerian) dan ketua pengarah (jabatan) akan keperluan mereka untuk memastikan KPI yang ditetapkan itu tercapai. Ini (pencapaian KPI yang ditetapkan) adalah antara faktor untuk menggerakkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil keahlian kepada 75 ahli Koperasi KOBUNITI Selangor Berhad dalam satu majlis di sini, hari ini.

Pada 6 September lepas, Mohd Zuki menetapkan KPI kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan supaya program menggerakkan ekonomi dilaksanakan mengikut perancangan susulan banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual ekoran pandemik Covid-19.

Sementara itu ditanya mengenai cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam digantikan dengan sistem baharu, Mohd Zuki berkata beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Itu mungkin cadangan mereka dan (setakat ini) Ceupacs belum minta lagi kepada kita. Saya rasa belum sampai lagi di peringkat pertimbangan kerajaan,” katanya.

Khamis lepas, Ceupacs dilaporkan akan mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan bagi mencadangkan sistem saraan baharu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Muhammad Shahrul Ikram Ketua Setiausaha baharu Kementerian Luar

PUTRAJAYA, 3 JAN: Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar, berkuat kuasa 7 Januari ini.

Muhammad Shahrul Ikram, 58, menggantikan Datuk Seri Ramlan Ibrahim, 61, yang tamat kontrak perkhidmatan setahun, pada 6 Januari ini, lapor BERNAMA.

Ramlan dan Muhammad Shahrul Ikram hari ini menandatangani penyerahan nota serah tugas ketua setiausaha, di Wisma Putra, di sini, dalam majlis yang disaksikan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Terdahulu, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke PBB, pada tahun 2017.

Muhammad Shahrul Ikram berkhidmat di Kementerian Luar sejak tahun 1988 dan pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar pada 2016; Wakil Tetap Malaysia ke PBB di Vienna pada 2010 dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, pada 2007.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KSU terbabit kes rasuah direman seminggu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 JAN: Ketua setiausaha (KSU) kementerian bersama anak lelakinya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, direman seminggu selepas memperoleh perintah mahkamah, hari ini.

Reman itu bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan berhubung kes rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram.

Majistret Mahkamah Putrajaya, Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan suspek bergelar ‘Datuk’ berusia 59 tahun itu ditahan reman bermula hari ini sehingga 11 Januari.

Kedua-dua anak lelaki suspek berusia 34 dan 29 tahun.

Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

ksuSemalam, negara sekali lagi dikejutkan dengan penahanan KSU terbabit kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa di kediamannya di USJ, Subang Jaya.

‘Datuk’ berkenaan ditahan bersama anak lelakinya, pada jam 8 pagi dan dibawa ke Putrajaya untuk disiasat.

Anaknya dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit.

Dalam operasi selama 12 jam itu, SPRM turut merampas 150 beg tangan dan jam tangan pelbagai jenama selain wang tunai dan jongkong emas yang dianggarkan bernilai RM3juta.

Suspek didakwa ke luar negara, baru-baru ini untuk bermain golf dan SPRM sedang menyiasat perkara itu termasuk berkaitan perjalanan dan perbelanjaan suspek dibiayai individu tertentu.

-AA-