Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Larang “kapcai” masuk KL tak masuk akal

SHAH ALAM 17 JAN: Cadangan Kerajaan Persekutuan melarang motorsikal berkapasiti enjin kecil, atau “kapcai” memasuki Kuala Lumpur adalah tidak masuk akal dalam keadaan ekonomi negara yang suram.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, dasar itu memberikan kesan negatif kepada pelbagai pihak, termasuk industri yang bergantung kepada motorsikal.

“Ketika harga minyak dan barang semakin meningkat, dan jaringan pengangkutan awam dari pintu ke pintu masih tidak lengkap, larangan ini tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai penyelarasan yang baik.

“Ini bukti terbaharu dasar Umno-BN akan terus mendatangkan pelbagai masalah dan membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerajaan sedang menimbang larangan itu bagi mengurangkan kesesakan kotaraya dan kadar pelepasan karbon, selain “kapcai” yang sering digunakan dalam jenayah ragut.

Fahmi berkata, larangan itu turut menjejaskan industri jualan motosikal dan perniagaan yang bergantung kepada kenderaan itu bagi tujuan pengangkutan.

“Ia beri kesan negatif kepada perniagaan kecil dan sederhana yang memerlukan perkhidmatan kiriman, yang rata-ratanya menggunakan ‘kapcai’ untuk penghantaran barang secara ekonomi,” katanya lagi.

Fahmi menggesa Kementerian Wilayah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berbincang dengan orang awam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman yang memberikan kesan kepada kehidupan mereka.

=EZY=