Categories
AGENDA NASIONAL

Cadangan had laju motosikal kapcai perlu kajian teliti

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Cadangan mengehadkan kelajuan motosikal berkapasiti kecil atau lebih dikenali sebagai kapcai kepada 70km/jam memerlukan kajian lebih teliti tentang implikasi pelaksanaannya kerana ia melibatkan kira-kira 10 juta pemilik motosikal berdaftar di negara ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain melibatkan isu keselamatan, kerelevanan cadangan itu juga perlu dilihat daripada pelbagai sudut dan sejauh mana ia dapat dilaksanakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. – Foto BERNAMA

“Kita tahu ada cadangan untuk mengehadkan (kelajuan) kapcai, tetapi dalam keadaan di Malaysia, ia melibatkan ramai pemilik kapcai di negara ini.

“Mungkin dalam lingkungan 10 juta (pemilik) motosikal …jadi ini adalah keputusan yang beri kesan sangat besar, saya bukan menolak cadangan itu tetapi daripada segi ‘practicality’ untuk melaksanakan cadangan itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut,” katanya.

Ogos lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian dilaporkan berkata, saranan mengenakan peraturan had laju kepada penunggang motosikal kapcai masih belum boleh dilaksanakan memandangkan ia memerlukan pemerhatian teliti untuk satu tempoh yang panjang.

Sebelum ini, The Safety First Group iaitu kumpulan prokeselamatan jalan raya, menggesa kerajaan untuk menguatkuasakan had laju 70km/j untuk motosikal kapcai selain meminta lebih banyak laluan khas motosikal dibina bagi mengurangkan kemalangan jalan raya membabitkan golongan itu.

Mengulas tentang cadangan supaya mewujudkan laluan khas penunggang motosikal di sebelah kiri jalan raya, Loke berkata ia akan dikemukakan kepada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk dijadikan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menurutnya cadangan itu merupakan konsep yang baik, bagaimanapun pelaksanaannya memerlukan perbelanjaan yang besar seperti membina struktur jalan dan sebagainya.

“Kita berharap dapat membina laluan khas motosikal ini dan juga menyediakan rekaan lebuh raya (yang sesuai) pada masa hadapan dengan mengambil kira perkara itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR SUKANKINI

Jelajah London: #kapcaipackers jejak bumi Pakistan, terus jaya misi mencabar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 JULAI: Selepas tiga bulan, pasangan #kapcaipackers, Mohd Alfifshahrin Zakaria dan Diana Latief, kini menjejaki bumi Pakistan dalam usaha mereka melengkapkan misi jelajah ke kota London, sebelum September ini.

Dalam status media sosial Facebook Mohd Alfishahrin, pasangan suami isteri itu menjelaskan mereka ketika ini dalam perjalanan merentasi sempadan Pakistan dan Iran.

“Alhamdulillah sampai di Dalbadin, lagi 200 kilometer nak ke sempadan Iran. Menunggang di padang pasir dengan angin kuat serta cuaca sekitar 50°c …..rentung.

WhatsApp Image 2017-07-05 at 15.55.53“Terima kasih kepada semua yang mendoakan keselamatan kami,” catatnya.

Alfifsharin, 31, dan Diana, 30, yang menyambut 1 Syawal di Kedutaan Malaysia di Pakistan tidak lupa mengucapkan Salam Aidilfitri kepada semua termasuk ibu bapa dan mertua, penganjur, penyokong serta pihak berkaitan.

Sebelum sampai ke Pakistan, pasangan suami isteri yang memulakan siri jelajah pada 8 April lalu di Batu Caves dengan menaiki Honda RS 150R dengan sasaran menamatkannya dalam tempoh 120 hari sudah melalui beberapa negeri di Thailand, Nepal dan India.

Pengembaraan disifatkan ‘percutian bulan madu’ bagi pasangan pengantin baru itu adalah program sulung direncanakan merentasi 25 negara Asia antaranya Austria, Belgium, Perancis, England, Hungary sebelum berakhir di London.

Jelajah itu disempurnakan pelepasannya oleh Exco Generasi Muda, Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan negeri, Amirudin Shari, yang didukung sepenuhnya Persatuan Mencegah Dadah (PEMADAM) Selangor dan GIVI Motorcycle Accessories yang menaja kelengkapan peralatan mereka.

Sebagai tanda sokongan, rakyat Malaysia khususnya warga Selangor boleh mengikuti perkembangan pengembaraan mereka di laman rasmi Facebook, PEMADAM SELANGOR atau menggunakan hashtag #kapcaipackers di laman sosial.

Categories
NASIONAL

Wahai Ku Nan, jangan bebankan rakyat lagi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JAN: Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang motosikal berkapasiti enjin kecil atau ‘kapcai’ memasuki Kuala Lumpur menimbulkan perasaan kurang senang dalam kalangan netizen.

Perkara itu turut mendapat perhatian bekas Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah yang berpendapat rakyat tidak seharusnya dibebankan lagi dengan keadaan itu.

Beliau berkata, cadangan itu juga akan menyukarkan golongan bawahan selain mempersoalkan kecekapan pengangkutan awam untuk dimanfaatkan rakyat.

“Jika alasan ‘carbon emission’, kenderaan besar lagi banyak melakukannya. Beban yang dipikul rakyat bawahan, janganlah diberatkan lagi dewasa ini,” tulisnya.

Sementara itu, Karami Kamel mempersoalkan cadangan alternatif penunggang motosikal kepada pengangkutan awam yang menekan belanja tinggi berbanding kos petrol kapcai.

ps1“Untuk ke tempat kerja saya, tambang KTM sehari lebih kurang RM20 selepas dinaikkan. Harga teksi pula tidak masuk akal, sangat mahal,” katanya.

Farhan Fauzi pula berpendapat kenderaan berkapasiti besar lebih banyak melepaskan karbon berbanding kapcai, malahan katanya, menunggang motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas.

Seorang lagi netizen, Ain Sani berkata, cadangan itu jelas ‘menindas’ golongan bawahan.

“Beginilah nasib rakyat marhaen, sentiasa ditindas,” katanya.

Terdahulu, KEADILAN membantah cadangan itu serta merta kerana dasar terbabit mendatangkan kesan negatif terutama kepada industri yang bergantung kepada motosikal.

“Ketika harga minyak dan barang semakin meningkat, jaringan pengangkutan awam dari pintu ke pintu masih tidak lengkap, larangan ini tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab juga tidak mempunyai penyelarasan baik,” kata Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Larang “kapcai” masuk KL tak masuk akal

SHAH ALAM 17 JAN: Cadangan Kerajaan Persekutuan melarang motorsikal berkapasiti enjin kecil, atau “kapcai” memasuki Kuala Lumpur adalah tidak masuk akal dalam keadaan ekonomi negara yang suram.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, dasar itu memberikan kesan negatif kepada pelbagai pihak, termasuk industri yang bergantung kepada motorsikal.

“Ketika harga minyak dan barang semakin meningkat, dan jaringan pengangkutan awam dari pintu ke pintu masih tidak lengkap, larangan ini tidak masuk akal, tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai penyelarasan yang baik.

“Ini bukti terbaharu dasar Umno-BN akan terus mendatangkan pelbagai masalah dan membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerajaan sedang menimbang larangan itu bagi mengurangkan kesesakan kotaraya dan kadar pelepasan karbon, selain “kapcai” yang sering digunakan dalam jenayah ragut.

Fahmi berkata, larangan itu turut menjejaskan industri jualan motosikal dan perniagaan yang bergantung kepada kenderaan itu bagi tujuan pengangkutan.

“Ia beri kesan negatif kepada perniagaan kecil dan sederhana yang memerlukan perkhidmatan kiriman, yang rata-ratanya menggunakan ‘kapcai’ untuk penghantaran barang secara ekonomi,” katanya lagi.

Fahmi menggesa Kementerian Wilayah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berbincang dengan orang awam terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pengumuman yang memberikan kesan kepada kehidupan mereka.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Balik raya naik ‘kapcai’ elak kesesakan

SHAH ALAM 27 JULAI: segelintir golongan muda memilih untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidilfitri menunggang ‘kapcai’ atau motosikal berkuasa rendah walaupun banyak pengangkutan awam disediakan.

mudik-bermotor
Gambar Hiasan

Menurut mereka selain menjimatkan kos, menunggang beramai-ramai atau berkonvoi ke kampung halaman juga dapat mempererat silaturrahim sesama mereka.

Pekerja swasta, Mohd Syahrul Hafizan Wahid, 25, berkata berkonvoi 15 hingga 20 buah kapcai untuk pulang beraya sudah dilakukannya sejak tiga tahun lepas.

“Bukan tak nak guna pengangkutan awam, tapi kadang-kadang bila pergi ke terminal bas atau stesen kereta api, tiket telah habis dijual walaupun Ramadan belum menjengah.

“Justeru, saya berpakat dengan beberapa rakan untuk pulang ke kampung halaman menaiki motosikal walaupun terpaksa menunggang lebih 300 kilometer,” katanya dipetik Bernama.

Mohd Syahrul yang berasal dari Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan, berkata banyak kelebihan menaiki motosikal berbanding menggunakan kereta untuk pulang ke kampung halaman.

“Antaranya dapat mengelak kesesakan lalu lintas yang sering berlaku terutama dua hari menjelang lebaran kerana ramai yang akan pulang ke kampung halaman ketika itu.

“Kadang-kadang kasihan bila mendengar sanak-saudara terperangkap dalam kesesakan sehingga berbelas jam kerana tiada lebuh raya yang menghubungkan Pahang dan Kelantan,” katanya.

Rakannya, Mohd Akirul Abdullah, 24, dari Felda Paloh 3, Gua Musang, berkata sebelum memulakan perjalanan, motosikal perlu diselenggara agar kenderaan itu berada dalam keadaan baik.

Katanya antara perkara penting ialah menukar minyak hitam selain brek dan tayar pula dipastikan dalam keadaan baik.

“Ketika pulang, peralatan membaiki motosikal seperti sepana dan tiub tayar juga mesti dibawa sebagai persediaan jika tayar motosikal pancit selain memastikan ada antara anggota konvoi yang pandai baiki motosikal,” katanya.