Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia hadapi masalah kewangan punca China dipilih bina ECRL

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JAN: Malaysia bukan sahaja menghadapi masalah kewangan untuk membiayai perbelanjaan pembangunannya, malah untuk membayar insentif seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) seperti diumumkan dalam Belanjawan 2017 lalu.

Profesor Adjunct Pengajian Ekonomi dan Pembangunan di Universiti Malaya (UM), Tan Sri Kamal Salih berkata, keadaan ini menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa mencari sumber lain yang membolehkan dana asing mengalir masuk ke dalam negara dengan menyerahkan Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kepada China.

“Kerajaan menghadapi masalah kewangan yang boleh dibelanjakan untuk pelaburan, membangunkan infrastruktur, memberi insentif termasuk untuk membayar BR1M dan sebagainya untuk menampung sara hidup rakyat.

“Dia tidak ada sumber lain melainkan terpaksa meminjam tetapi sumber pinjaman terbatas disebabkan kos pinjaman kita semakin tinggi,” kata bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) itu kepada SelangorKini.

Bagaimanapun jelasnya, Kerajaan Persekutuan perlu mengkaji bagaimana langkah itu mampu memberi kesan pengaruh China terhadap Malaysia.

Terdahulu, projek ECRL sepanjang 688 kilometer yang menelan kos sebanyak RM55 bilion diserahkan secara ‘bulat-bulat’ kepada China termasuk aspek membekalkan modal, kepakaran, peralatan dan tenaga kerja.

Walaupun projek ini boleh dianggap sebagai satu pelaburan asing namun disebaliknya merupakan satu langkah mendapatkan pinjaman daripada China melalui projek ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBM), Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran perjanjian dimeterai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan China mungkin mampu menggugat kedaulatan Malaysia apabila negara terlalu banyak bergantung kepada sesebuah negara.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia termasuk tuntutan wilayah Malaysia di Laut China Selatan yang juga dituntut oleh China.

“Kita sudah pun mempunyai jumlah hutang yang besar, kini kita akan berhutang lagi sejumlah wang yang besar dari satu sumber. Ia memberi kesan kepada politik negara.

“Dahulu, kita bebas untuk mempunyai hubungan dengan mana-mana negara. Kami tidak terikat dengan perjanjian dengan mana-mana blok,” katanya.

=EZY=