Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MPK kaji semula prosedur sebelum anjur pertunjukan bunga api

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 5 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memastikan kejadian letupan bunga api seperti yang berlaku baru-baru ini tidak berulang lagi.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya akan mengkaji semula prosedur dengan lebih teliti sekiranya mahu acara pertunjukan bunga api diadakan selepas ini.

“Kita akan pastikan perkara ini tidak berulang lagi. Sebab itu, kita adakan siasatan dalaman untuk memperbaiki prosedur dan kelemahan.

YDP MPK“Kelulusan akan diberikan mengikut keadaan semasa dan operasi ‘standard’ prosedur diikuti sebelum bersetuju untuk laksanakan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Yasid menegaskan pertunjukan bunga api di Fiesta Gegar Klang bukan satu kompenan program terbabit.

Katanya, ia dibentangkan dalam mesyuarat tetapi tidak diluluskan.

“Memang tidak diluluskan. Bajet pun tidak ada dan ia dibentangkan pada peringkat awal tetapi tidak diluluskan dalam mesyuarat penuh,” katanya.

Sebelum ini, penantian detik 12 tengah malam sambutan tahun baharu di Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, memahat sejarah hitam apabila 14 pengunjung cedera terkena percikan bunga api yang meletup di kawasan tanah rata sebelum sempat ke udara dalam kejadian itu.

-NFN-