Categories
KENYATAAN MEDIA

OIC perlu suarakan bantahan larangan masuk ke AS

OLEH Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

Saya kecewa menerima berita arahan eksekutif Presiden A.S. Donald J Trump ditandatangani Jumaat yang melarang kemasukan pelarian dari tujuh negara Islam ke Amerika Syarikat.

Walaupun isu imigresen dan kawalan sempadan adalah hak setiap negara, namun larangan umum seperti yang kita saksikan ini amatlah dikesali dan menampakkan tahap kepercayaan yang wujud pada waktu ini di antara pentadbiran A.S. sekarang dan dunia Islam.

oiclogoMalaysia selaku anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), yang melibatkan 57 negara Islam termasuk negara-negara yang terkesan akibat arahan eksekutif Presiden Trump, perlu melibatkan diri dalam perbincangan dengan pentadbiran A.S. melalui kesemua saluran diplomatik sedia ada demi menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Pada masa yang sama, OIC perlu memanggil perjumpaan tergempar untuk membincangkan serta merangka strategi dan langkah-langkah diplomatik yang perlu diambil untuk menjamin keadilan serta memupuk persefahaman di antara semua pihak yang terlibat.

* Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah Ketua Pembangkang
Presiden KEADILAN