Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Pencinta Alam bangga usaha MDKS, harap diikuti PBT lain

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 25 JAN: Persatuan Pencinta Alam (Malaysian Nature Society-MNS) memuji usaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) mewujudkan Pusat Sumber Taman Alam.

Presidennya, Henry Goh berkata, usaha itu sewajarnya dijadikan ikutan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Malaysia dalam usaha mewujudkan masyarakat celik alam sekitar, terutama tanah lembap.

“Kami sangat bangga dan gembira dengan apa yang dilakukan MDKS yang berjaya mewujudkan pusat pertama seumpamanya.

“Harapan kami, agar ia tidak dipersiakan dan digunakan sebaiknya orang awam sehingga mencapai kelasnya tersendiri dan dirujuk sebagai pusat sumber tanah lembap terbaik di dunia,” katanya kepada SelangorKini.

Taman Alam Kuala SelangorBeliau ditemui sejurus selesai Majlis Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2017 dan Perasmian Pusat Sumber Taman Alam, di sini, hari ini.

Henry berkata, MNS juga sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan tanah lembap.

“Kerajaan Negeri boleh memperbanyakkan lagi program pendidikan alam sekitar dalam usaha mendidik generasi muda hari ini.

“Tanpa usaha sebegini, kita khuatir ia memberi kefahaman salah mengenai tanah lembap kepada umum sehingga ia diabaikan dan akhirnya memberi kesan jangka panjang kepada kita semua,” katanya.

=EZY=