Categories
PBT SELANGOR

Penduduk diharap bersabar, MPSJ sedang bekerja keras

OLEH: LIZAWATI MADFA

SUBANG JAYA, 7 JAN: Penduduk setempat diharap bersabar dan memberi peluang kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menyelesaikan isu kutipan sampah domestik.

Ahli Dewan Negeri (ADN), Hannah Yeoh berkata, beliau menerima timbunan aduan sampah tidak berkutip sejak seminggu lalu.

Katanya, aduan berkenaan sudah dipanjangkan kepada MPSJ dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatannya.

“Kebanyakan kontraktor adalah baru dan masih tidak faham tempat baru menjadikan perkhidmatan perlahan, ditambah lagi dengan cuti tahun baru yang menyumbang kepada timbunan sampah lebih banyak.

“MPSJ sendiri sudah melaksanakan pelan bantuan kepada kontraktor, malah Yang Di Pertua dan Timbalannya juga turun padang bagi memastikan isu ini selesai.

“Harap penduduk bersabar kerana saya yakin ia akan selesai dalam sedikit masa lagi,” katanya.

Bermula awal tahun ini, MPSJ melantik kontraktor baru selepas kontraktor lama tamat perkhidmatan pada 31 Disember lalu.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah tidak menolak kemungkinan kontraktor lama melakukan sabotaj ekoran tiada lantikan semula untuk kontrak pembersihan baru.

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MPSJ, Dr Roslan Mohamed Hussein berkata, pihaknya akan melaksanakan pemotongan bayaran perkhidmatan kepada kontraktor di kawasan terbabit.

=EZY=