Categories
SELANGOR

Penjawat awam diperingat jaga amanah & integriti

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 JAN: Penjawat awam Selangor diingatkan untuk melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan berintegriti, tegas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak sesekali bertolak ansur dengan sebarang amalan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.

Katanya, impak perbuatan salah itu bukan sahaja terpalit kepada individu dan keluarga tetapi turut meranapkan imej baik Kerajaan Negeri.

“Sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat pembongkaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap gaya hidup melampaui kemampuan dan pendapatan sebagai penjawat awam.

“Pembongkaran ini memberi tanggapan negatif masyarakat terhadap penjawat awam secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Bulanan di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK) di sini, pada 16 Januari lalu.

Mohd Amin mengingatkan bahawa bidang perkhidmatan awam bukan bidang yang mampu menjanjikan kemewahan.

“Nasihat saya ukurlah baju di badan sendiri atau ‘live within your means’.

“Sekiranya ada yang berangan ingin hidup mewah, bekerja dengan kerajaan bukanlah caranya,” katanya.

=EZY=