Categories
SELANGOR

PKNS optimis lancar 1,157 unit hartanah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JAN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) optimis melancarkan 1,157 unit hartanah menerusi 12 projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM533 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, projek terbabit terdiri daripada pelbagai jenis hartanah antaranya pangsapuri, rumah teres, rumah link, rumah kluster, rumah berkembar, rumah bandar dan kedai pejabat bernilai RM180,000 hingga RM1.9 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Noraida Mohd Yusof“Projek baharu ini terletak di lapan lokasi iaitu Kota Damansara, Rasa, Kota Puteri, Bernam Jaya, Antara Gapi, Shah Alam, Kuala Selangor dan Selangor Cyber Valley,” katanya dalam ucapan di Majlis Makan Malam PKNS Bersama Media di Laman PKNS, semalam.

Noraida berkata, pada tahun ini PKNS menyediakan peruntukan kewangan sebanyak RM1.8 bilion bagi pelaksanaan semua rancangan pembangunan.

Katanya, sejumlah RM997.7 juta atau lebih separuh daripadanya adalah bagi perbelanjaan pembangunan, manakala RM327 juta atau 18 peratus adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM540.3 juta atau 29 peratus untuk lain-lain perbelanjaan.

“PKNS menyasarkan pendapatan operasi sebanyak RM886.7 juta iaitu peningkatan 20 peratus berbanding kajian bajet 2016.

“Aktiviti pembinaan rumah mampu milik terus menjadi agenda utama PKNS dengan sasaran untuk membina sebanyak 13,484 unit menjelang tahun 2020,” katanya.

Terdahulu, PKNS akan melaksanakan perancangan pembangunan yang lebih sistematik melalui pemantauan secara hands on dan penetapan indeks prestasi utama (KPI) yang akan dipantau secara berkala.

Katanya, aktiviti pembinaan rumah mampu milik terus menjadi agenda utama PKNS dengan sasaran untuk membina sebanyak 13,484 unit menjelang tahun 2020.

Sebelum ini, PKNS berjaya membina lebih 1,500 unit rumah mampu milik setakat ini.

-nR-